BUKAN kita tidak tahu siapa yang menjadi rencong dalam lipatan, siapa menyamar duri di dalam daging. Mungkin sangsi sudah ada, tapi tiada yang berani bersuara sebab iyalah, siapa pula sanggup menadah muka dianggap tidak setia gara-gara mempertikai harmoni yang sudah bertahan lama di Lambor Kanan.
Sebab itu, walau syaitan dan jahanam mana pun perangai Man Filem, dia tetap diterima kerana identitinya sebagai anak jati desa itu. Dia sebahagian kita juga, mungkin itulah agaknya yang terlintas dalam kepala Andak Meor atau Pok Yie.
Lebih mudah untuk membangun curiga kepada orang luar; produksi Cina Silver Pang yang mahu menghasilkan sebuah filem patriotik tentang perjuangan orang Melayu, seorang Bangla yang memberikan perkhidmatan e-hailing ‘tip top’ dari Chenderong Balai ke Teluk Anson hingga selebriti pondan.
Semua itu jauh lebih senang daripada bertanya terus ke depan muka Along Alid yang juga berpengaruh (melihat kepada konco-konco yang cium tangan) bahawa adakah benar adiknya seorang penipu?

Bias membuatkan kita lebih mudah memaafkan orang yang ‘dalam golongan kita’ tapi tiba-tiba jadi lebih tajam, dingin kepada mereka di luar lingkaran sosial kita. Libang Libu seperti tajuknya menetaskan konflik demi konflik menampar muka orang politik, orang masjid, samseng, sampailah kepada penggiat filem sepanjang hampir dua jam durasi tayangan. Kita sama-sama terkena getahnya.
Filem sulung arahan Bobby Husaini tidak menunjukkan dosa Man Filem semata-mata, tapi bagaimana tidak kritikalnya perangai manusia yang hanya mengikut telunjuk orang semata-mata atau berpegang kepada mentaliti apa yang aku percaya, adalah satu-satunya kebenaran seperti perangai puak-puak samseng baik Alid atau Kapak.
Walau akhirnya kita tahu mereka boneka yang dimainkan Ayah Megat. Juga entah kenapalah orang mudah berasa kagum hanya dikenali orang politik, bukan dia buat kita kaya pun.

Segala yang hampir
Sebagai orang yang dibesarkan di kampung, sudah semestinya Libang Libu memberikan rasa ‘pulang’ bahkan ada beberapa kejadian dalam filem ini memang terjadi ketika saya membesar seperti jenayah intai-mengintai.
Cuma, jika menilai semangat kekitaan orang di kampung saya, pusat judi mungkin sudah lama dibakar walau dibina diam-diam. Tidak tahu bagaimana ia bertahan di Lambor Kanan.
Dengan segala rencam kesinisan, rencah humor dalam membina Libang Libu, saya harus akui bahawa ia belum mampu untuk menjadi sebuah naskhah yang membekas. Adakah ia lawak? Ya dan tidak, adakah ia mengesankan? Juga ya dan tidak. Libang Libu berdiri di antara segala yang mungkin dan ‘hampir’ namun belum cukup kuat menjadikannya filem yang diingati. Hanya tipis-tipis, tapi tidak mengena.

Antara konflik yang lahir satu demi satu, Libang Libu tidak mempunyai gagasan jauh lebih dalam yang dilihat mampu melekatkan keseluruhan jalan cerita, atau gamnya mungkin ada, cuma tidak kuat untuk mencantum. Tidak salah bermacam ragam tapi hujungnya harus menyatu.
Saya tidak boleh berempati dengan karakter Man Filem sebagai pembawa cerita utama, tapi boleh berasa sayang terhadap Shakur Rahman. Setiap karakter berevolusi, tapi entah kenapa gagal menggerakkan emosi atau dilihat terlalu berceramah. Mungkinkah kerana suntingannya yang ala iklan dengan nuansa cepat, padat membuatkan jenaka yang perlahan-lahan terbina cepat terpadam?
Entahlah, saya masih memikirkan itu sehingga sekarang. Walau dua kali tersengguk di kerusi penononton, saya masih merasakan Libang Libu adalah naskhah yang berbaloi untuk dtonton di wayang dengan harga RM26.










