SATU perkara ‘gila’ apabila ada penganjur yang bercita-cita menggabungkan tiga kumpulan rock gergasi, Wings, Search dan XPDC di atas satu pentas.
Mana tidaknya, menyatukan aura ketiga-tiga band rock itu bukan satu yang mudah kerana banyak perkara dasar yang perlu dititik beratkan.
Bagaimanapun, Bintang Batu Event dengan bantuan Seri Simfoni Sdn. Bhd. menggalas tanggungjawab itu dengan yakin.
Maka, 1 Ogos depan bertempat di Megastar Arena, Bukit Bintang bakal menyaksikan pertama kali dalam sejarah penyatuan tiga band terkemuka di atas pentas yang sama.
Untuk menganjurkan pentas sehebat itu, banyak cabaran sudah pun ditempuh penganjur.Wings terutamanya yang berkali-kali ditawarkan untuk membuat persembahan.
Bahkan ketika mereka sibuk membuat persembahan di Sarawak tempoh hari, penganjur tetap menghubungi untuk bertanyakan kesekian kalinya. Namun Wings tidak berkesempatan.
Namun penganjur cuba merombak tarikh konsert, barulah Wings menyatakan persetujuan mereka.
“Ini satu kerjasama yang sihat kerana ketiga-tiga band ini belum pernah berkolaborasi, disatukan di atas satu pentas yang sama. Jadi saya mengharapkan hasil yang baik.Kami teruja kerana ia satu kerjasama yang akan diperkatakan ramai. Jadi Insha-Allah kami cuba melakukan yang termampu,” kata Awie mewakili Wings.

Menurut Awie, hasil kesepakatan anggota Wings, mereka bersedia menyahut cabaran konsert 3 Veto.
“Tugasan tetap dilaksanakan waima dengan siapa atau di mana ia dilakukan, yang penting kami benar-benar bersedia.
“Jadi bila bersedia, maka banyak perancangan yang sudah diatur. Mungkin kami akan bergabung tenaga menyanyikan lagu Search atau lagu-lagu Barat. Semuanya masih dalam perancangan.Begitu juga latihan yang mana kami tidak boleh berkompromi. Dalam kesibukan membuat persembahan untuk acara lain, kami tetap merancang masa untuk berlatih bagi konsert ini,” katanya.
Mengenai rangkaian pilihan lagu, Wings memperlihatkan deretan lagu yang terlalu banyak sehinggakan mengambil masa hanya untuk membuat pilihan lagu mana yang akan dinyanyikan nanti.
Tentu sekali antara lagu yang dipilih adalah yang diketahui umum, menjadi kegemaran yang membolehkan peminat menyanyikan bersama-sama.
Itu menjadi cabaran kedua buat Wings yang mana Awie selaku vokalis berpandangan pemilihan lagu perlu dibuat secara teliti dan mendapat kesepakatan majoriti ahli.
“Ada ratusan lagu. Kalau kami mainkan lagu yang tidak popular, orang akan termenung pula. Kami kena pilih lagu yang orang suka. Kadang kami pun muak dengan lagu yang sama. Sebab itu, langkah terbaik adalah tukar arrangementnya supaya tidak membosankan peminat.
“Satu sahaja, lagu Sejati biarlah dikekalkan arrangementnya seperti sedia kala. Kami terpaksa ikut seperti yang asal,” ujarnya.

INI SEARCH, BUKAN CERITA MAIN-MAIN
PERSETUJUAN Search KidDin untuk terlibat dalam konsert 3 Veto sebenarnya dinantikan ramai. Namun rata-rata peminat menarik nafas lega apabila mereka memberikan kata putus.
Namun, Search kali ini menampilkan penyanyi, Pasya selaku vokalis utama yang mewarnai lagi kemunculan mereka di konsert tersebut.
Bangga dan teruja, Pasya menyifatkan pemilihannya sekali vokalis sebagai peluang keemasan yang jarang diperoleh.
“Saya di sini adalah untuk memudahkan kerja mereka. Saya mahu tengok Search KidDin ini terbang lebih tinggi.
“Kadang-kadang, ada juga tawaran kerja persendirian yang saya tolak semata-mata untuk bersama kumpulan Search. Priority lebih kepada mereka.
“Beraksi dengan band yang besar ini memerlukan komitmen seratus peratus. Bukan cerita main-main, ini Search,” katanya.
Menurut Din, 63, komitmen kerja yang ditunjukkan penyanyi berusia 31 tahun itu melayakkan beliau beraksi di konsert 3 veto.
“Alhamdulillah, Pasya memberikan hasil kerja dan komitmen yang sangat baik. Saya sendiri melihat dia perbaiki prestasi dari semasa ke semasa. Dan yang paling penting adalah dia senang bekerjasama, tidak banyak kerenah.
“Dia bukan penyanyi tetap kami. Bahkan apabila kami melamar, dia sudah bermula dengan kerjaya solonya.
“Tapi secara tidak langsung penglibatan dia bersama Search akan melonjakkan lagi popularitinya,” kongsinya.
Ujar Din lagi, kumpulan Search KidDin selesa dengan keadaan bertukar-tukar penyanyi dan belum ada perancangan untuk mendapatkan penyanyi tetap.
“Kami selesa di jalan begini, mungkin ia akan berterusan. Tetapi kami tidak menolak sekiranya berjumpa penyanyi tetap satu masa nanti,” kongsinya.
Dalam pada itu berkongsi persediaan konsert 3 Veto, Din memaklumkan sudah mempunyai idea persembahan namun masih dibincangkan.
“Wings ada muzik sendiri, begitu juga XPDC. Apa pun kami harap jangan lepaskan peluang menyaksikan konsert ini Ogos ini kerana kita tidak tahu bila lagi kolaborasi sebegini akan berlaku,” katanya.
XPDC IKON ROCK NEGARA
UNGGUL dengan gelaran ‘raja funfair’, XPDC mengubat rindu peminat dengan menjadi kumpulan ketiga yang bersetuju untuk tampil dalam konsert 3 Veto ini.
XPDC melakar sejarah kerana buat pertama kalinya bersatu bersama Wings dan Search untuk menjayakan konsert ini.
Menggalas peranan sebagai vokalis baharu, Zul Fazli atau Mamu meluahkan rasa teruja untuk menjayakan konsert berkenaan di dalam kesibukan mereka melunaskan album baharu.
“Saya ahli yang paling banyak ditegur, tapi dimarahi itu perkara yang perlu dihadapI bagi ‘muka baharu’ dalam industri seni.
“Band ini bertaraf legenda. Untuk menggantikan Allahyarham Syed Ismail Syed Ibrahim dan Mohd. Ali Ismail selaku vokal bukan perkara mudah. Tambah lagi Mohd. Zulkifly Nik Hussin atau Izo ada
jangkaan yang dia letakkan.
“Apa pun saya akan buat yang terbaik sehingga capai standard yang telah mereka letakkan. Mereka ini ikon rock negara, jadi tidak kisahlah ditegur atau dimarahi, saya ambil sebagai pelajaran berharga,” kongsinya.
Abu dalam masa sama memaklumkan XPDC telah diberikan masa tertentu untuk beraksi sempena konsert tersebut.
“Kami diberikan masa kira-kira 45 minit ke satu jam. XPDC ini lagu-lagunya rancak dan kebanyakannya lagu popular. Kira-kira 10 ke 12 lagu akan kami persembahkan untuk persembahan selama satu jam.
“Ada kemungkinan besar ada lagu yang akan kami medleykan. Persembahan itu akan bertenaga, menyeronokkan dan banyak lagu-lagu hits kami mainkan,” katanya.
Bercakap mengenai pemilihan lagu, Abu berkata perkara itu tidak merunsingkan memandangkan lagu-lagu XPDC kebanyakannya rancak dan bertenaga.
“Muzik yang kami bawakan semestinya rancak. Tambah pula lagu-lagu seperti Titian Perjalanan, Impian Ini, C.I.N.T.A adalah lagu yang ikonik. Lagu itu orang tahu,” kongsinya.










