Pernah berada di puncak populariti, kemudian terjatuh dalam episod hitam yang mengubah seluruh perjalanan hidupnya, Ameng Spring hari ini memilih untuk bangkit dengan cara tersendiri.
Boleh dilihat, Ameng begitu senang mendekati masyarakat menerusi media sosial sambil berkongsi realiti kehidupan tanpa berselindung.
Menariknya, penyanyi yang sinonim dengan kumpulan Spring itu kini menjadi perhatian generasi muda di TikTok apabila kisah-kisah perkongsiannya mengenai kehidupan di penjara, tekanan hidup dan nasihat kehidupan mula tular dan mendapat sambutan luar biasa.
Menurut Ameng, penglibatannya di TikTok bermula secara santai sekitar tiga bulan lalu sebelum akaunnya berkembang menjadi fenomena tersendiri.
“Sekarang saya aktif di platform TikTok. Saya baru sahaja menyertai dunia TikTok sekitar tiga bulan lalu. Anak-anak saya, Amar dan Azeeva, bertindak sebagai moderator. Merekalah yang mengajar saya cara menggunakan TikTok, apa yang perlu ditulis, dan bagaimana untuk menyekat pengguna yang bermasalah.
“Saya menggunakan nama ‘Mr. Bougainvillea’ supaya orang tidak menyedari kehadiran saya dengan mudah semasa sesi ‘Live’. Namun, kini akaun tersebut sudah sangat popular.
“Pada mulanya saya hanya suka-suka, tetapi ia menjadi tular kerana saya banyak berkongsi kisah di sebalik tabir yang orang ramai ingin tahu,” katanya.
Apa yang membezakan kandungan TikTok Ameng dengan pengguna lain adalah keberaniannya berkongsi pengalaman sebenar sepanjang berada di penjara.
Namun tegasnya, semua itu dilakukan bukan untuk meraih perhatian, sebaliknya demi memberi kesedaran kepada masyarakat.
“Masih saya ingat, sebelum saya dibebaskan dari penjara, saya telah meminta izin daripada pengarah penjara. Saya bertanya kepadanya, apa yang patut saya sampaikan kepada masyarakat mengenai penjara?
“Dia kata, saya boleh menceritakan apa sahaja asalkan matlamatnya adalah untuk menimbulkan rasa takut dalam kalangan masyarakat agar tidak masuk ke penjara. Itulah yang saya kongsikan di TikTok, kisah sebenar, bukan rekaan.
“Contohnya, keadaan makanan atau pengalaman sukar di sana supaya orang ramai berasa gerun,” ujarnya.
Tambah Ameng, perkongsian tersebut banyak tertumpu kepada generasi muda terutama Gen Z yang dianggap mudah terpengaruh dan berdepan tekanan emosi pada usia muda.
“Tujuan saya berkongsi bukan untuk membuka aib atau berbangga, tetapi sebagai pengajaran, terutamanya untuk generasi muda (Gen Z).
“Mereka ini mudah tertekan atau mengalami kegelisahan. Apabila tertekan, mereka mungkin melakukan perkara yang tidak sepatutnya seperti lari dari rumah atau terjebak dengan masalah sosial.
“Saya mahu mereka faham realiti kehidupan yang sebenar. Melalui data TikTok, saya dapati penonton saya berumur antara 17 hingga 35 tahun.
“ Saya juga mengingatkan mereka tentang bahaya perkara yang nampak remeh, seperti penggunaan rokok elektronik yang mungkin mengandungi dadah tanpa disedari, atau lumba haram yang boleh menyebabkan hukuman penjara yang lama,” katanya.

Dalam masa sama, Ameng turut menitipkan nasihat kepada masyarakat supaya tidak meminggirkan ahli keluarga yang sedang menjalani hukuman penjara kerana sokongan keluarga amat penting dalam proses perubahan diri seseorang.
“Mengenai ahli keluarga yang berada di penjara, saya nasihatkan janganlah buang mereka. Pergilah melawat. Jika mereka dibuang, mereka akan berputus asa dan kembali kepada kawan-kawan lama yang negatif apabila keluar nanti. Kita perlu memberi sokongan kepada mereka,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ameng turut berkongsi khabar gembira mengenai perjalanan karier seninya yang kembali aktif menerusi beberapa projek muzik bersama Sony Music.
“Saya sebenarnya mempunyai lagu baharu dengan Sony Music. Kontrak saya bersama mereka adalah untuk melancarkan satu lagu setiap tiga bulan.
“Baru-baru ini, kami telah melancarkan remix lagu ‘Sampai Hati’ yang dipersembahkan secara trio bersama saya, Afif Tarmizi, dan seorang pendatang baharu, Julia Kamalia.
“Selepas ini, saya akan melancarkan sebuah lagu ketuhanan atau nasyid. Selain itu, akan ada lagu ciptaan Saari Amri, remix lagu ‘Sejiwa’, dan juga tawaran untuk merakamkan lagu Spring secara duet bersama anak-anak saya, Azeeva dan Amar, melalui sebuah syarikat.
“Terdapat juga beberapa tawaran konsert seperti Konsert Tiga Suara, konsert solo bersama Saari Amri, dan konsert bersama kumpulan Spring,” katanya.
Walaupun kembali sibuk dengan dunia muzik, Ameng mengakui fokus utamanya kini lebih terarah kepada program pencegahan dadah dan aktiviti bersama NGO.
“Walaupun banyak tawaran muzik, fokus utama saya kini lebih kepada program pencegahan dadah. Jadual saya agak terhad kerana hampir setiap minggu ada acara.
“Saya perlu mengutamakan pihak yang membayar deposit terlebih dahulu, tidak kira sama ada untuk program pencegahan dadah, majlis makan malam, atau skim penyelidikan.
“Banyak NGO juga cuba mendapatkan khidmat saya sekarang, termasuk NGO ibu tunggal dan pelbagai lagi,” katanya.










