BERTEMU menerusi program pencarian bakat Hero Remaja pada 2021, siapa sangka persahabatan yang dibina pelakon, Amir Ahnaf dan Mierul Aiman kekal akrab walaupun selepas program itu berakhir.
Tidak mudah mendapat tempat di dalam industri apalagi ketika itu heri berdarah kacukan atau ala-ala Korea selalu mendapat tempat di layar. Amir dan Mierul menyewa rumah sama-sama di Putrajaya demi mencari tapak dalam industri. Pelbagai uji bakat disertai, tapi tak semuanya menjadi rezeki.
Siapa sangka, dalam tempoh lima tahun bergelar anak seni, Amir dan Mierul masing-masing sudah bergelar bintang filem sebagai watak utama. Bermula daripada filem Kahar: Kapla High Council, mereka kembali bertemu dalam naskhah aksi terbaharu arahan Razaisyam Rashid, Tarung: Unforgiven.
Amir mengakui rasa terhutang budi terhadap Mierul yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya sebelum ini, terutama ketika dia sedang sibuk dengan penggambaran filem Kahar rmembuatkan dia terus berkata ‘ya’ ketika ditawarkan membintangi projek Tarung: Unforgiven.
“Sebenarnya sebab utama saya terima Tarung disebabkan sebelum ini saya buat Kahar. Walaupun Mierul sangat sibuk dengan jadual penggambarannya sendiri, dia tetap datang.
“Sebab itu saya rasa terhutang budi. Saya sudah kenal Mierul terlalu lama, jadi saya rasa saya sangat layak untuk menyokong dia pula dalam filem Tarung,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Tambah seronok apabila Amir dimaklumkan Mierul bakal menyandang karakter utama filem ini. Melihat usaha yang diberikan sahabatnya itu selama ini, Amir tumpang bangga dengan rezeki yang diraih Mierul.
“Bila dengar nama dia sebagai watak utama, saya terus rasa, ‘Okay, let’s go’. Mari kita buat. Ini adalah masanya untuk kami sama-sama berjuang di layar perak.
“Saya panggil dia ‘Mun’. Ayat pertama yang saya cakap dekat dia ialah, ‘Mun, akhirnya kita dalam satu filem sekali’. Bersyukur sebab dalam filem pertama dia, saya ada dengan dia sekali. Sama juga dengan filem pertama saya, dia ada, ajaib takdir berputar,” katanya.

Bercerita mengenai pengalaman bekerja di bawah arahan Razaisyam Rashid, Amir tidak mempunyai kata-kata lain selain pujian yang melambung tinggi terhadap pengarah itu.
Dia menyifatkan budaya kerja yang diterapkan oleh syarikat produksi Alpha 47, yang dikendalikan Aedy Ashraf mempunyai persekitaran sihat dan positif.
“Budaya kerja 12 jam sehari itulah yang saya impikan selama ini. Ia sangat profesional dan semuanya berjalan dengan sempurna.
“Alhamdulillah, kami dapat sediakan suasana kerja yang sangat baik,” katanya.
Apabila ditanya mengenai sejauh mana nilai persahabatan mereka di luar set, Amir mengakui dia sanggup melakukan apa sahaja demi sahabat yang disayanginya sama seperti di dalam filem.
“Kalau di luar, jika ada orang kacau keluarga dia atau adik-beradik dia, saya sanggup ke depan. Keluarga dia adalah keluarga saya juga.
“Kami akrab, keluarga kami sudah saling kenal. Rumah bapa saudara Mierul pun di Terengganu juga,” katanya.
Dalam pada itu, Amir juga sempat meluahkan rasa syukur apabila bakat dia dan Mierul diiktiraf oleh pelakon senior berkaliber seperti Bront Palarae yang menyifatkannya sebagai pelapis industri yang berpotensi.
“Saya bersyukur ada pengurus yang bagus yang dapat tempatkan saya dalam naskhah yang berkualiti. Begitu juga pengarah dan penerbit yang nampak potensi dan berani menggilap diri saya.
“Pelakon sekarang memang banyak, daripada teater ke kelas lakonan. Tapi kuncinya tetap pada pengarah dan penerbit. Mereka yang menggerakkan naskhah dan industri kita,” jelasnya.
Amir berharap agar lebih banyak penerbit yang berani mencipta karya luar biasa supaya lebih banyak pengarah berbakat dapat dilahirkan pada masa hadapan.
Buat masa ini, Amir selesa bekerjasama dengan Alpha 47, namun dia sentiasa terbuka untuk menerima tawaran daripada produksi besar lain seperti Astro Shaw atau Skop Productions jika diberikan peluang.










