Jika ‘merajuk’, saya tidak akan menyanyi  - Fiq Halim  - Utusan Malaysia

Jika ‘merajuk’, saya tidak akan menyanyi  – Fiq Halim 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selepas hampir sedekad ‘menghilang’ daripada radar industri muzik tempatan, penyanyi rock, Fiq Halim, akhirnya membuka cerita sebenar di sebalik keputusannya membawa diri jauh dari dunia glamor.

Bukan merajuk, jauh sekali kecewa dengan industri, sebaliknya pemilik vokal berusia 45 tahun itu mengakui, dia memilih untuk pulang ke Sabah demi menjaga ibunya yang semakin berusia selain mencari kembali keyakinan diri yang kian menipis.

Menurut Fiq, tempoh panjang menyepi itu membuatkan dirinya menjadi terlalu selesa berada di belakang tabir sehingga hilang keberanian untuk tampil semula secara serius di hadapan khalayak.

“Sudah lama juga saya menyepi, rasanya dalam sepuluh tahun. Memang benar saya masih mengadakan persembahan, tetapi hanya di ‘belakang tabir’. Untuk tampil ke hadapan semula, saya berasa kurang yakin.

“Saya sebenarnya ada menerima tawaran untuk menghasilkan lagu atau bernaung di bawah label, tetapi saya sendiri yang berasa was-was. Mungkin kerana lagu yang ditawarkan kurang sesuai atau faktor keyakinan diri yang rendah,” katanya.

Fiq berkata, sepanjang berada di Sabah selepas tempoh Perintah Kawalah Pergerakan (PKP) kerana Covid-19, kehidupannya lebih tertumpu kepada keluarga terutama ibunya, namun nyanyian tetap menjadi sumber rezeki utama.

Dalam masa sama, Fiq turut mengakui dia berdepan kesukaran untuk menguruskan kerjaya sendiri selepas tidak lagi bersama syarikat pengurusan lama yang sebelum ini mengendalikan segala urusan seni.

Disebabkan itu juga, dia pernah terfikir untuk tidak lagi aktif secara serius di Kuala Lumpur kerana merasakan dirinya tidak lagi tahu bagaimana untuk mengatur perjalanan karier seperti dahulu.

Bagaimanapun, semuanya berubah selepas menerima suntikan semangat daripada sahabat baiknya, Aepul Roza, vokalis Drama Band.

“Sejak saya lama tidak muncul dalam industri, saya berasa agak malas untuk membuat persembahan, jika hendak diringkaskan ceritanya.

“Namun, setelah Aepul memberikan sedikit semangat, begitu juga dengan Aweera dan rakan-rakan yang lain, serta pelawaan Aepul untuk menjadi tetamu dalam konsert Drama Band, segalanya bermula dari situ.

“Semangat itu membuatkan saya berasa seperti ini adalah sesuatu yang baharu, seolah-olah saya baru muncul semula. Ini yang membuatkan saya rasa ingin kembali ke dalam industri. Tambahan pula, dalam industri sekarang, saya belum nampak lagi penyanyi lelaki yang benar-benar mampu membawakan genre rock. Jika di negara jiran mungkin ada, jadi ini mungkin salah satu sebab mengapa saya perlu kembali untuk meneruskan legasi muzik rock ini,” katanya lagi.

Tambah Fiq lagi, sokongan peminat yang tidak pernah putus juga menjadi faktor besar yang menghidupkan semula semangatnya untuk kembali berkarya.

“Antara sebab lain saya kembali adalah kerana sokongan peminat. Kadang-kadang saya jarang membaca komen, tetapi apabila saya melihat semula hantaran lama, ramai yang mahu saya kembali dan mengeluarkan lagu baharu.

“Ini membakar semangat saya untuk merealisasikan hasrat mereka. Saya tidak merajuk atau kecewa dengan industri, saya faham bagaimana keadaannya. Jika saya merajuk, saya tidak akan menyanyi terus,” katanya.

Kini, Fiq sedang sibuk membuat persiapan menjelang konsert Trilogi yang menggabungkan dirinya, Aepul dan Aweera pada 18 Julai ini di Big Pillars Hall, Astana Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.

Mengakui masih dihimpit rasa gementar, Fiq bagaimanapun percaya pengalaman dan sokongan sahabat-sahabat rapat mampu membantunya kembali menemukan rentak.

“Perasaan gementar itu tetap ada, apatah lagi sudah lama tidak terlibat dengan konsert berskala besar. Insya-Allah, selepas Aidiladha nanti, kami akan mula merancang latihan vokal dan fizikal untuk membina stamina.

“Selain itu, saya juga merancang untuk keluarkan lagu baharu nanti.Mungkin lagu berentak ‘slow rock’ yang lebih sesuai dengan pasaran sekarang untuk memudahkan saya membuat kemunculan semula.

“Selepas projek ‘Trilogi’ ini, kami merancang untuk mengeluarkan album EP. Aepul akan menggubah lagu untuk kami bertiga, manakala untuk lagu solo, saya dan Aweera akan ada lagu masing-masing dalam EP yang sama.

“Sekarang saya menetap di Kuala Lumpur buat sementara waktu untuk menyiapkan proses rakaman,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN