Bangga dengan Nia Atasha, ramai pelakon wanita wajar dapat perhatian - Sky Iskandar - Utusan Malaysia

Bangga dengan Nia Atasha, ramai pelakon wanita wajar dapat perhatian – Sky Iskandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Sky Iskandar, 32, meluahkan rasa bangga terhadap kejayaan kekasihnya, Nia Atasha yang kini semakin mendapat perhatian menerusi filem Kata Hati.

Menurut Sky atau nama sebenarnya Hadi Iskandar Mohd Rashidan, pencapaian diraih Nia disifatkan sebagai satu perkembangan positif buat industri hiburan tempatan, khususnya dalam memperkasakan pelakon wanita yang menurutnya masih kurang diberikan peluang besar.

“Saya memang sangat bangga dengan Nia dan juga filem Kata Hati. Secara umum, saya merasakan pelakon wanita di Malaysia masih kurang diberikan perhatian sewajarnya. Bukan dalam konteks negatif, tetapi saya sendiri mahu melihat lebih ramai pelakon wanita diberi peluang kerana saya percaya Malaysia memiliki ramai bakat wanita yang hebat.

“Seperti Azira Shafinaz, Mimi Lana dan ramai lagi pelakon lain yang saya rasa mampu pergi lebih jauh. Industri perlu memberikan mereka lebih banyak peluang serta kepercayaan untuk membawakan watak-watak besar,” katanya.

Tambah Sky, kejayaan Nia membawa watak utama dalam filem original merupakan satu pencapaian besar yang wajar diraikan.

“Untuk Nia menjadi teraju utama dalam sebuah filem original, bagi saya itu sesuatu yang besar. Ia menunjukkan semangat perintis dalam dirinya. Bukan mudah untuk sampai ke tahap itu dan saya rasa dia sememangnya layak menerima segala pengiktirafan yang diraih ketika ini,” ujarnya.

Dalam masa sama, Sky turut mengakui Nia pernah melalui fasa sukar sehingga hampir berputus asa sebelum memperoleh peluang menerusi filem berkenaan.

Menurutnya, sebagai pasangan dia sentiasa cuba memberikan sokongan moral terbaik agar Nia terus yakin dengan perjalanan seninya.

“Memang pernah dia bercerita yang dia hampir berputus asa. Biasalah dalam industri ini, apabila kita menunggu sesuatu peluang tetapi ia tidak kunjung tiba, pasti akan timbul perasaan seperti ‘mungkin ini bukan untuk aku’.

“Jadi saya hanya cuba memberikan sokongan sebaik mungkin. Saya selalu berpesan supaya dia jangan hilang harapan kerana kadang-kadang harapan itu sendiri mampu membuka ruang kepada sesuatu yang lebih baik pada masa depan.

“Kita sendiri pun tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan, tetapi sekurang-kurangnya jangan berhenti percaya kepada diri sendiri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN