Berdiri jadi taruhan pertama Athierah - Utusan Malaysia

Berdiri jadi taruhan pertama Athierah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi baharu, Athierah, mempertaruhkan single sulung berjudul Berdiri, sebuah karya yang membawa mesej kekuatan diri, keberanian untuk bangkit dan semangat meneruskan kehidupan meskipun berdepan pelbagai cabaran.

Athierah atau nama sebenarnya Nor Athierah Aqielah Nor Azman berkata, lagu tersebut cukup dekat dengan dirinya kerana mempunyai kaitan rapat dengan perjalanan hidup serta pengalaman peribadinya sebagai anak seni.

Menurut penyanyi berusia 22 tahun itu, dia jatuh hati terhadap lagu berkenaan sebaik kali pertama mendengar melodi dan susunan muziknya.

“Bagi saya, Berdiri sangat istimewa kerana mesej yang dibawa memang dekat dengan diri saya. Lagu ini berkisar tentang kekuatan diri dan bagaimana seseorang bangkit semula selepas melalui pelbagai fasa kehidupan.

“Apabila pertama kali mendengar melodi lagu ini, saya terus rasa bersemangat dan yakin karya ini mampu menyentuh hati pendengar,” katanya.

Single tersebut turut menyaksikan Athierah berpeluang bekerjasama dengan komposer dan penerbit terkenal, Ajai, yang disifatkannya sebagai pengalaman cukup berharga dalam perjalanan seninya.

Menurut Athierah, sepanjang proses rakaman berlangsung, dia banyak mempelajari aspek penting dalam penyampaian lagu terutama dari sudut emosi dan penghayatan.

“Bekerja dengan Ajai memang satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan. Banyak perkara saya belajar daripada beliau terutama bagaimana menyampaikan emosi dalam lagu dengan lebih jujur dan tepat.

“Ajai juga sangat teliti ketika proses rakaman. Perkara kecil pun diberi perhatian supaya hasil akhirnya benar-benar memberi kesan kepada pendengar. Dari situ saya belajar bahawa nyanyian bukan sekadar vokal, tetapi juga melibatkan rasa dan jiwa,” ujarnya.

Berkongsi lanjut mengenai perjalanan seninya, Athierah mengakui minat terhadap dunia nyanyian sudah bermula sejak kecil lagi.

Namun katanya, perjalanan untuk serius dalam industri hiburan bukan sesuatu yang mudah kerana dia pernah melalui pelbagai cabaran dan fasa jatuh bangun sebelum berpeluang merakamkan single sendiri.

“Saya memang meminati bidang nyanyian sejak kecil dan aktif membuat persembahan. Tetapi untuk berada pada tahap sekarang, saya melalui banyak pengalaman dan cabaran.

“Jadi apabila diberi peluang merakamkan Berdiri, saya sangat bersyukur kerana ini peluang besar buat saya. Tambahan pula dapat bekerjasama dengan komposer hebat seperti Ajai, memang satu pengalaman yang cukup bermakna,” katanya.

Dalam pada itu, anak kelahiran Kuala Lumpur itu berharap dapat terus aktif menghasilkan karya baharu selain mahu mencabar diri meneroka pelbagai genre muzik.

Katanya, perkembangan industri muzik yang semakin kompetitif menjadikan dirinya lebih bersemangat untuk terus belajar dan memperbaiki diri sebagai penghibur.

“Saya berharap dapat menghasilkan lebih banyak lagu selepas ini dan mencuba pelbagai genre supaya dapat berkembang sebagai artis.

“Industri muzik sekarang sangat kompetitif, jadi penting untuk sentiasa belajar dan mencari identiti sendiri dalam muzik,” katanya lagi.

Selain bergiat aktif dalam bidang nyanyian, Athierah kini turut melanjutkan pengajian dalam jurusan Teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Menurutnya, dunia lakonan dan teater banyak membantu meningkatkan keyakinan diri, ekspresi emosi serta cara membawa diri ketika membuat persembahan di pentas.

Untuk rekod, Berdiri terbitan Inisiatif Seni Kreatif (ISK) kini boleh didengari di semua platform digital manakala muzik videonya boleh ditonton menerusi saluran YouTube Indigital Music.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN