KOTA BHARU: Faktor cuaca panas berpanjangan dan kenaikan kos diesel dikenal pasti antara punca harga sayur bagi beberapa jenis mengalami kenaikan sehingga RM2 sekilogram, sejak kebelakangan ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Siti Khadijah di sini mendapati, harga sawi, timun, kacang panjang, salad dan kailan meningkat berbanding sebelumnya.
Peniaga, Nurul Fatma Zulkifli, 40, berkata, sawi kini dijual RM6 sekilogram berbanding RM4 sebelum ini manakala salad meningkat kepada RM16 sekilogram dan kacang panjang pula RM10 sekilogram.
Menurutnya, kebanyakan bekalan diperoleh daripada pembekal pada harga lebih tinggi, sekali gus memaksa peniaga menaikkan harga jualan.
“Keadaan cuaca panas dan kenaikan harga diesel dipercayai antara faktor utama harga sayur meningkat ketika ini.
“Walaupun harga naik, pelanggan masih membeli, namun kuantitinya tidak sebanyak sebelum ini,” katanya ketika ditemui.
Seorang lagi peniaga di Pasar Siti Khadijah yang ingin dikenali sebagai Kedeng, 66, berkata, harga lada solok mencecah RM20 sekilogram berbanding RM18 sebelum ini manakala kailan meningkat daripada RM6 kepada RM8 sekilogram.
Katanya, kenaikan harga itu turut memberi kesan kepada peniaga kerana margin keuntungan semakin kecil.
“Peniaga pun terkesan dengan kenaikan harga sayur, untung tidak seberapa. Bagaimanapun, pelanggan memahami keadaan semasa yang dihadapi peniaga,” katanya. – UTUSAN










