Tidak sempat beraya dengan Bonda, yang penting mereka bahagia - Aliff Syukri

Tidak sempat beraya dengan Bonda, yang penting mereka bahagia – Aliff Syukri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selebriti dan usahawan popular,Datuk Seri Aliff Syukri tampil menjelaskan persoalan ramai berhubung ketiadaannya dan isteri, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid, menyambut Aidilfitri bersama ibunya, Rozita Ibrahim.

Menurut Aliff, situasi tersebut bukanlah berpunca daripada keretakan hubungan keluarga seperti yang didakwa segelintir pihak, sebaliknya lebih kepada kekangan masa serta pendekatan berbeza dalam menyambut hari raya.

“Akhirnya, dalam soal beraya ini, walaupun kadang-kadang kita sibuk dan tidak dapat bersama keluarga sepenuhnya, apa yang penting ialah kami melihat mereka gembira.

“Sebagai anak, melihat kegembiraan ibu bapa sudah cukup membahagiakan. Kita sentiasa berdoa agar ibu bapa sentiasa gembira, dimurahkan rezeki dan diberikan kehidupan yang baik.

“Apabila melihat mereka bahagia, kita juga akan turut merasa bahagia,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka di kediamannya baru-baru ini.

Sementara itu, ditanya mengenai keputusannya pada tahun ini mengadakan majlis rumah terbuka di kediaman, kata Aliff, ia juga sebagai satu langkah penjimatan.

“Bagi sesiapa yang ingin berjimat tetapi masih mahu mengadakan majlis makan-makan sempena hari raya, bolehlah menyambut di rumah sahaja. Sebenarnya, bukan semua orang mahu melakukannya di rumah. Tambahan pula, ramai yang tidak mahu beraya dari rumah ke rumah.

“Macam saya pun tidak selalu dapat menerima tetamu di rumah, jadi kami membuat keputusan untuk tidak mengadakan kunjungan rumah ke rumah. Sebaliknya, kami mengajak semua orang berkumpul di satu tempat sahaja,” jelasnya.

Aliff turut menegaskan bahawa keputusannya bukan bermaksud dia bersikap sombong, sebaliknya keadaan tertentu memaksa mereka mengambil pendekatan tersebut.

“Ini kerana kadang-kadang kami tiada di rumah, atau walaupun berada di rumah, pintu terpaksa dikunci. Ada masanya kami belum bersedia, tidak sempat bersiap, atau masih sibuk dengan urusan kerja dari pagi hingga malam. Bukan sombong, tetapi keadaan tidak mengizinkan,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, Aliff menegaskan bahawa dia tetap mengutamakan layanan terbaik kepada tetamu sekiranya berkesempatan.

“Tetapi, apabila menerima tetamu, saya tetap akan melayan mereka sebaik mungkin mengikut kemampuan. Jika hanya ada hidangan ringkas seperti nasi, sambal belacan dan lauk kampung, itulah yang akan saya hidangkan.

“Sejak dahulu lagi, keluarga saya memang begitu. Walaupun tetamu datang lewat malam, kami tetap akan memasak, walaupun sekadar nasi goreng atau mi segera. Bagi kami, tetamu itu membawa rezeki, tidak kira tua, muda, kaya atau miskin.

“Jika anda mengenali saya dengan lebih dekat, saya memang akan melayan tetamu dengan sebaiknya. Apa sahaja yang ada di rumah akan saya hidangkan. Itu sudah menjadi kebiasaan saya.

“Namun begitu, jika saya tidak bersedia, saya akan berterus terang. Tetapi jika saya bersedia, saya akan menyambut tetamu dengan hati terbuka. Niat utama adalah untuk memuliakan dan menggembirakan tetamu,” ujarnya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN