Siti Nurhaliza imbau kenangan raya di Konsert Beraya Dengan Saya - Utusan Malaysia

Siti Nurhaliza imbau kenangan raya di Konsert Beraya Dengan Saya

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Biduanita negara, Siti Nurhaliza sekali lagi mencuri tumpuan apabila berjaya menghidupkan suasana Aidilfitri menerusi penganjuran konsert Pentas Eksklusif Aidilfitri: Beraya dengan Saya yang berlangsung meriah di Zepp Kuala Lumpur, semalam.

Konsert yang bermula seawal pukul 8.30 malam itu menghimpunkan kira-kira 3,000 peminat setia yang tidak melepaskan peluang meraikan Syawal bersama penyanyi kesayangan ramai itu.

Bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri, dewan konsert dipenuhi penonton yang tampil anggun dalam busana tradisional pelbagai warna, sekali gus mewujudkan suasana seakan-akan majlis rumah terbuka.

Menyemarakkan lagi kemeriahan, Siti turut menyediakan juadah istimewa buat peminat yang hadir awal sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan berterusan mereka.

Tirai persembahan dibuka dengan lagu Lip Lap Raya yang menyaksikan kemunculan Siti dari pintu dewan diiringi penari, sekali gus mengundang sorakan gemuruh penonton.

Dalam pada itu, penyanyi tersohor itu turut berkongsi kisah nostalgia zaman kanak-kanaknya menyambut Aidilfitri, khususnya pengalaman mengumpul duit raya sehingga poket bajunya sarat dengan syiling.

“Dulu saya beraya di blok kediaman polis. Seronok kumpul duit raya sampai poket penuh. Siap tukar baju untuk datang semula ke rumah sama, tapi tak berjaya sebab tuan rumah cam,” katanya berseloroh, mengundang gelak tawa hadirin.

Menurut beliau, situasi berbeza dilalui kini apabila sering dikunjungi peminat ketika musim perayaan.

“Kadang-kadang saya tak cam muka peminat, boleh beri dua atau tiga kali duit raya. Nak ingat semua orang memang mencabar,” ujarnya bersahaja.

Sepanjang konsert, lebih 20 lagu dipersembahkan termasuk Sesuci Lebaran, Meriah Suasana Hari Raya, Bila Hari Raya Menjelma dan Air Mata Syawal yang berjaya mengubat kerinduan peminat terhadap lagu-lagu raya klasik.

Lebih istimewa, Siti turut menyampaikan lagu Mekar Hari Raya buat pertama kali selepas bergelar ibu selain mendendangkan Anugerah Aidilfitri dan Hari Kemenangan.

Suasana bertambah rancak apabila penonton bangun dan menari ketika lagu Nazam Lebaran serta Beraya Dengan Saya dipersembahkan.

Konsert berkenaan turut diserikan dengan kemunculan penyanyi jemputan, Aisha Retno yang berduet bersama Siti menerusi lagu Raya Nak Ke Mana selain menyampaikan Jodoh Lebaran.


Dua artis di bawah naungan SN Legacy, Auddra dan Umai, turut mencuri perhatian dengan persembahan lagu-lagu raya malar segar seperti Selamat Hari Raya, 3 Hari Raya dan Dentam Dentum Raya.

Tidak ketinggalan, Siti turut mendendangkan beberapa lagu raya popular sepanjang zaman antaranya Menjelang Hari Raya, Selamat Berhari Raya, Pulang Di Hari Raya, Suara Takbir, Dendang Perantau, Dari Jauh Ku Mohon Keampunan dan Kepulangan Yang Dinanti.

Dalam perkembangan sama, seorang peminat bertuah berjaya membawa pulang duit raya bernilai RM100 selepas berjaya menjawab soalan yang dikemukakan oleh penyanyi itu, sekali gus menutup tirai konsert dengan penuh keceriaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN