Shila Amzah tidak sangka masih jadi fenomena di China - Utusan Malaysia

Shila Amzah tidak sangka masih jadi fenomena di China

SHILA AMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bukan semua artis mampu mengekalkan relevansi selepas lebih sedekad meniti perjalanan seni, apatah lagi apabila perlu membina semula nama di pasaran luar negara.

Namun bagi penyanyi tersohor, Shila Amzah, China menjadi saksi bagaimana namanya terus subur, malah kemunculan semulanya di negara itu disambut luar biasa oleh peminat lama dan generasi baharu yang kini menjadikan dirinya sebagai antara figura seni yang dekat di hati mereka.

Lebih mengejutkan, tiket konsertnya habis dijual dalam tempoh kurang seminit, sekali gus membuktikan pengaruhnya masih kuat meskipun sudah lama tidak bertemu peminat secara langsung.

Menurut Shila, dia sendiri tidak menyangka masih mampu mengekalkan tempat dalam hati peminat selepas bertahun-tahun berjuang dalam industri hiburan.

“Sejujurnya, saya pun tidak menjangkakannya. Sebelum jelajah ini bermula, kami memang sudah kembali ke pasaran sana dengan beberapa persembahan. Namun, melalui jelajah inilah kami dapat mendekati peminat dari serata tempat di China.

“Saya berasa sangat bertuah dan diberkati kerana selepas bertahun-tahun, saya masih mampu mengekalkan relevansi dalam industri. Kehadiran suami saya, Ubai, dan pihak pengurusan baharu memberikan kemanisan selepas segala kepenatan sebelum ini,” katanya.

Katanya lagi, sambutan luar biasa itu turut memberi semangat baharu buat dirinya sebagai seorang artis bebas yang perlu bekerja lebih keras untuk memastikan setiap langkah kerjayanya terus bergerak ke hadapan.

“Ya, tiket habis dijual dalam masa kurang daripada satu minit. Saya dan pasukan saya sangat terkejut. Kami baru sahaja membuat analisis semalam tentang perbelanjaan dan kerja keras yang telah dilakukan.

“Sebagai artis bebas (independent), ini adalah satu pencapaian besar. Walaupun mungkin daripada 10 orang hanya seorang yang menyukai saya, saya akan tetap fokus kepada yang seorang itu. Saya sentiasa mengingatkan diri sendiri untuk tidak berputus asa,” ujarnya.

Dalam masa sama, pelantun lagu Patah Seribu itu mengakui profil peminatnya di China kini jauh berbeza berbanding sedekad lalu apabila majoriti penyokongnya kini terdiri daripada golongan muda berusia antara 18 hingga 25 tahun.

Perubahan itu membuatkan dia dan pasukannya perlu menyusun strategi baharu agar persembahan yang dibawa lebih dekat dengan citarasa generasi tersebut.

“Memandangkan ini adalah kemunculan semula saya, saya sudah lama tidak bertemu peminat secara terus. Saya memberitahu pihak pengurusan, bukan sahaja di China malah di Malaysia juga, bahawa saya tidak mahu skala yang terlalu besar. Saya mahu peminat mengenali saya semula.

“Apa yang mengejutkan, profil demografi peminat saya di China sekarang sudah berubah. Jika 10 atau 12 tahun dahulu umurnya berbeza, sekarang peminat saya lebih kepada golongan muda berusia 18 hingga 25 tahun. Jadi, kami perlu melakukan sesuatu yang sesuai untuk mereka.

“Kami sedang meninjau untuk mengadakan konsert di enam hingga lapan buah bandar lagi,” katanya.

Atas faktor itu juga, Shila memilih untuk tidak terus tampil dengan konsert berskala stadium kerana baginya, momen kemunculan semula itu perlu diraikan dengan ruang yang lebih intim dan dekat bersama peminat.

Pada masa sama, dia juga sedang sibuk membuat persiapan untuk konsert di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), selain perlu berulang-alik ke China bagi menjayakan jelajah yang telah dirancang sehingga hujung tahun.

“Persiapan saya dari segi mental adalah seperti biasa. Namun, dari segi masa untuk berlatih agak mencabar. Saya juga sudah agak lama tidak menyanyikan lagu Melayu, jadi saya berasa sedikit kekok.

“Pada masa yang sama, kami juga sedang berlatih untuk konsert di DFP. Mengenai jelajah di China, saya telah meminta pihak pengurusan untuk memberikan saya waktu rehat pada minggu ini kerana saya berasa agak letih. Minggu hadapan baru saya akan terbang ke China dan kemudian kembali semula ke sini untuk konsert DFP,” katanya.

Tidak hanya menerima sokongan menerusi jualan tiket, Shila juga tersentuh apabila ada peminat di China yang mula terbuka dengan imej bertudung yang dibawanya, malah ada yang terinspirasi untuk mengenakan hijab.

Menurutnya, perkara itu berlaku secara semula jadi dan bukan sesuatu yang pernah dirancang.

“Ramai juga peminat lelaki yang emosional dan menangis. Ubai pun perasan perkara ini dan dia berseloroh bahawa dia ada pencabar di sana. Namun, mereka sangat memahami batas. Jika peminat wanita mungkin akan terus memeluk saya, peminat lelaki biasanya menjaga jarak dan meletakkan tangan di belakang walaupun mereka sedang menangis terharu.

“Mengenai peminat yang memakai tudung, populasi Muslim di China sebenarnya sangat besar. Cuma gaya pemakaian tudung mereka sedikit berbeza mengikut stail masing-masing. Sekarang, mereka lebih terbuka dengan cara saya memakai tudung dan itu memudahkan mereka mengenali saya,” katanya.

Mengulas soal perbezaan penerimaan peminat di Malaysia dan China, Shila menegaskan dia tidak pernah memilih kasih kerana baginya, muzik adalah bahasa universal dan komitmennya tetap sama di mana sahaja dia berdiri.

“Bagi saya, penerimaan orang adalah di luar bidang kuasa kita. Sama ada di Malaysia atau di China, usaha dan minat saya terhadap bidang ini tetap sama. Saya tidak melebihkan mana-mana pihak.

“Di atas pentas, saya menyerap tenaga daripada penonton. Jika mereka memberikan lebih sokongan, ia akan memberikan dorongan kepada saya untuk melakukan yang lebih baik,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN