Saya cuma mahu kasih sayang seorang bapa - Nabila Huda - Utusan Malaysia

Saya cuma mahu kasih sayang seorang bapa – Nabila Huda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“APA-apa yang berlaku, saya anggap itu takdir.”

Pelakon, Nabila Huda akhirnya reda untuk melepaskan segala yang berada di luar kawalannya termasuklah kemelut keluarga yang sudah berlarutan lama. Rindu tetap ada, dalam dan tidak pernah padam buat bapa kandungnya, Datuk Amy Search yang sudah semakin jarang bersua.

Kini, Syawal sudah beberapa hari berlalu. Namun belum masanya takdir mempertemukan semula Nabila yang mesra dipanggil Abil dengan bapanya untuk meraikan kemeriahan raya bersama-sama.

“Saya teruskan hidup seperti biasa, sudah penat fikir atau bercakap tentang perkara sama berulang kali. Cuma sebagai manusia, tidak salah untuk sesekali rasa terpancing teringat kenangan lama.

“Kalau rindu, saya akan cakap rindu,” katanya kepada Pancaindera.

Sebagai anak, tiada dendam atau sengketa yang tertinggal di lubuk hatinya. Bahkan, jika ada peluang bersua atau terjumpa bapanya di mana-mana, dia tidak segan memeluk dan mencium seperti dalam video tular yang pernah dirakamkan sebelum ini.

“Memang saya sebenarnya tiada masalah atau bergaduh dengan papa dari dulu sampai sekarang. Cuma orang luar yang salah anggap ingat kami bergaduh sebaliknya hubungan kami sentiasa okay.

“Pertemuan tempoh hari sangat berharga sebab kerinduan yang lama terpendam akhirnya terubat. Saya cuma hendak kasih sayang seorang bapa.

“Saya tidak perlukan harta dia pun sebab sudah terbiasa hidup berdikari dengan usaha saya sendiri. Sekarang saya cuma hendak teruskan hidup dengan tenang. Bagi saya juga 2026 adalah semuanya tentang ketenangan.

”Kalau jumpa kawan-kawan pun saya akan cakap ‘guys tahun ini nak tenang sahaja ya, tak nak marah-marah’. Kalau macam tersasar sikit, suami akan ingatkan laju-laju,” katanya.

Abil sebelum ini pernah mengatakan hubungannya dan ayah menjadi semakin dingin sejak kedatangan ibu tirinya. Malah Abil memberi gelaran ‘perempuan itu’ kerana enggan nama ibu tirinya disebut orang ramai.

Bercerita tentang lebaran, ini merupakan kali pertama pelakon Munafik itu beraya di Kuala Lumpur.

Jika tangan bapa belum rezeki dikucup, Abil tidak mahu melepaskan peluang meraikan hari kemenangan bersama ibu kandungnya, Faridah Fadzil.

“Lebaran tahun ini istimewa sikit sebab sempat menyambut raya pertama dengan mama di Kuala Lumpur. Selalunya setiap kali raya saya akan sambut dengan keluarga sebelah suami di Singapura.

Tapi tahun ini, saya cakap dengan suami hendak beraya dengan mama dan dia izinkan.

“Saya cuma ada seorang emak dan dia merupakan cinta pertama papa saya, Suhaimi Abdul Rahman,” katanya.

Bila difikir-fikir, Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-28 jarang bercakap tentang sosok ibu kandungnya.

“Saya memang jarang bercakap tentang keluarga kecuali jika ada yang bertanya seperti ini. Bagi saya zaman sekarang, kita tidak perlu kongsi semua benda supaya orang tidak perlu. tahu apa yang berlaku dalam hidup kita. Biarlah orang tanya-tanya.

“Cuma kalau tentang mama, sekarang saya yang jaga. Walaupun dia ada rumah sendiri, tapi sekarang saya yang tanggung dia seratus peratus sejak suaminya iaitu bapa tiri saya meninggal dunia.

“Dia tinggal di rumah bersama 20 ekor kucing. Itulah kawan-kawan dia yang saya pun tidak boleh marah,” selorohnya.

Masak simbol kasih sayang 

Gayong 2 menjadi antara filem yang dinantikan untuk tahun ini menceritakan kesinambungan perjalanan kehidupan Pengasas Silat Gayong, Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman.

Namun sepanjang penggambaran, nampaknya pelakon dan kru senyum memanjang kerana Abil gemar memasak untuk semua di dalam caravan yang disewanya.

“Memasak memang menjadi bahasa cinta saya. Bila saya masak untuk orang, mereka akan gembira. Saya pula memang suka bagi orang makan dan itulah terapi saya di rumah dan di set penggambaran. 

“Saya pula tak suka makan di luar sebab banyak yang tak kena dengan tekak. Sama juga dengan katering di set, ada sahaja rasa yang saya anggap gagal. Jadi daripada sakitkan hati orang dengan kejujuran lebih baik saya masak sendiri,” katanya ketawa.

Lebih lucu, ada juga pelakon yang lebih seronok singgah di caravan Abil untuk menikmati masakannya berbanding apa yang disediakan pihak produksi, bukan calang-calang penangan wanita itu. Punyalah teliti memasak, daripada ‘bekalan’ peribadi, kini beliau mula menghasilkan sos pasta sendiri dan menjualnya kepada peminat masakan Itali. 

“Ya betul, semua saya buat sendiri, saya pakai sos tomato tak tipu semua itu premium. Minyak yang saya letak dalam sos itu pun dipilih dengan teliti,” jelasnya,

Meneruskan karakter Che Som isteri kepada Datuk Meor, Nabila Huda cuba menonjolkan sebaik mungkin sisi isteri misali yang memberi kekuatan kepada suami untuk menempuh cabaran sebagai pejuang. 

“Saya boleh katakan Gayong 2 lebih menjual budaya yang semakin sukar kita lihat di dalam filem-filem tempatan. Termasuklah gaya bercakap dan bergaduh pun ada adab caranya yang lembut. 

“Perkara ini nampak kecil namun menonjolkan sisi besar kepada penonton. Bukannya kalau gaduh asyik nak tembak sahaja,” katanya.

Terdahulu, Gayong yang ditayangkan di pawagam tahun lalu berjaya meraih kutipan pecah panggung melebihi RM5 juta itu turut dibintanginya oleh Beto Kusyairy, Syafie Naswip 

Gayong 2 bakal menemui penonton pada pawagam bermula 9 April. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN