KUALA LUMPUR: Penyanyi dangdut, Amelina meluahkan rasa terkilan terhadap sikap segelintir pihak yang sewenang-wenangnya melabelkan industri hiburan sebagai haram tanpa memahami realiti sebenar dunia seni.
Menurut Amelina, 52, atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin, pandangan sedemikian bukan sahaja mengguris hati penggiat seni, malah seolah-olah mempertikaikan sumber rezeki yang diperoleh secara halal.
Katanya, meskipun ada pihak berhak memberikan pandangan, namun niat seseorang dalam mencari rezeki tidak seharusnya dipandang ringan.
“Bukan kita mahu menegakkan sesuatu yang salah. Soal aurat itu memang kita tahu dan sedar.
“Tetapi apa yang penting adalah niat atau nawaitu kita. Apa yang kita lakukan ini untuk mencari rezeki dan kelangsungan hidup,” katanya ketika ditemui pada majlis Seloka Lebaran anjuran Rusa Music, semalam.
Tambah pelantun lagu Asyik itu, setiap pekerjaan mempunyai garis panduan tersendiri termasuk dari segi pemakaian, bergantung kepada kesesuaian tugas masing-masing.
“Orang pergi pejabat berpakaian mengikut kesesuaian kerja mereka. Saya pula sebagai penyanyi, perlu berpakaian sesuai dengan pentas.
“Tidaklah sampai melampaui batas seperti berkemban atau berpakaian tidak senonoh ketika bekerja,” ujarnya.
Dalam pada itu, Amelina menegaskan bakat yang dimiliki seseorang adalah anugerah daripada Allah SWT dan tidak wajar dijadikan bahan kecaman.
“Apabila kita mempertikaikan rezeki orang lain, secara tidak langsung kita mempersoalkan ketentuan Allah.
“Semua ini datang daripada-Nya. Jadi siapa kita untuk merendahkan atau menghukum punca rezeki orang lain,” katanya.
Mengimbau perjalanan kariernya, Amelina berkata, peluang kembali aktif dalam industri selepas 15 tahun menyepi adalah rezeki yang amat disyukuri.
“Selepas lama menghilang, saya diberi peluang kembali menyanyi lagu-lagu lama yang pernah popular.
“Rezeki inilah yang membantu saya membesarkan anak-anak dan meneruskan kehidupan,” katanya dalam nada sebak.
Pada masa sama, Amelina mengakui beliau menghormati pandangan pempengaruh sensasi, Tareq Fit terutama dalam aspek kesihatan dan pemakanan, namun berpendapat kenyataan berhubung industri seni dilihat keterlaluan.
“Saya suka melihat beliau berkongsi tip diet, tetapi lama-kelamaan kenyataan yang dikeluarkan semakin melampaui batas.
“Bukan beliau seorang sahaja yang berfikiran begitu, ramai lagi sebenarnya. Kami golongan artis ini ibarat satu ‘kampung’, walaupun tidak ditujukan kepada saya, tetap terasa,” katanya.
Menurutnya, penilaian terhadap halal dan haram tidak seharusnya dibuat hanya berdasarkan pandangan luaran semata-mata.
“Halal atau haram itu bukan hanya pada apa yang dilihat. Kita tidak tahu apa yang ada dalam diri seseorang,” jelasnya.
Terdahulu, isu melibatkan Tareq terus hangat diperkatakan apabila beliau meluahkan rasa kecewa terhadap penyampai radio Azad Jasmin yang didakwa mengeluarkan kenyataan menyentuh ibunya.
Menurut Tareq, situasi itu tercetus selepas beliau memberikan nasihat kepada Azad mengenai kesan dunia hiburan yang boleh menjejaskan akhlak.









