KUALA LUMPUR: Pusat karaoke terkemuka, Red Box Karaoke, terus mengorak langkah strategik dalam industri hiburan apabila melancarkan visi baharu sebagai Hab Sosial No.1 Asia sempena penganjuran Kongsi Raya Media & Artis Night 2026, baru-baru ini.
Pengumuman tersebut menandakan transformasi besar syarikat berkenaan daripada sekadar pusat hiburan karaoke kepada sebuah platform sosial bersepadu yang menggabungkan pengalaman hiburan, penyebaran kandungan serta interaksi komuniti dalam satu ekosistem.
Selari dengan perubahan itu, Red Box turut memperkenalkan satu inisiatif platform terbuka yang membolehkan pencipta muzik tempatan, termasuk artis indie dan bakat baharu, memuat naik karya mereka ke dalam sistem karaoke secara percuma.
Langkah berkenaan dilihat sebagai usaha signifikan dalam memperkasa industri muzik tempatan dengan memberi lebih banyak peluang pendedahan kepada karya asli, di samping mengurangkan halangan kemasukan kepada pengkarya baharu.
Bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, acara tersebut berlangsung dalam suasana penuh meriah dengan kehadiran artis, penggiat industri, rakan media serta rakan perniagaan yang bersama-sama meraikan pencapaian sepanjang tahun lalu.
Majlis itu bukan sahaja menjadi medan penghargaan, malah berfungsi sebagai platform penting untuk mengukuhkan jaringan kerjasama dalam kalangan pemain industri hiburan dan muzik tempatan.
Antara sorotan utama ialah pengumuman carta muzik tahunan Red Box yang menampilkan dua kategori utama, iaitu 10 Lagu Raya Melayu Terbaik 2026 serta 10 Lagu Melayu Tempatan Terbaik 2025.
Menariknya, carta tersebut disusun berdasarkan data sebenar pilihan lagu pengguna Red Box di seluruh negara, sekali gus memberikan gambaran tepat mengenai citarasa rakyat dan trend semasa industri muzik.
Pendekatan berasaskan data ini menjadikan carta berkenaan lebih berwibawa dan berpotensi menjadi rujukan penting dalam kalangan penggiat industri.
Pengarah Urusan Red Box, Terry Swee, berkata muzik mempunyai keupayaan unik untuk merentas sempadan bahasa dan budaya, sekali gus memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Menurut beliau, perkembangan muzik tempatan kini semakin dinamik dengan peningkatan kolaborasi antara artis pelbagai latar belakang, termasuk penghasilan karya berbilang bahasa dan lagu bertemakan perayaan.
“Kami mahu menyediakan platform supaya lebih banyak karya dapat didengari. Dengan membuka sistem karaoke kami kepada pencipta tempatan, kami merendahkan halangan kepada mereka dan membolehkan karya asli mencapai audiens yang lebih luas,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen syarikat untuk terus berperanan sebagai penghubung antara artis, media dan pengguna dalam memastikan kelestarian industri muzik negara.
Dalam pada itu, Red Box turut mengumumkan pelan pengembangan agresif dengan sasaran membuka 15 cawangan baharu di beberapa lokasi strategik termasuk di Melaka, Genting Highlands dan Johor.
Langkah tersebut dijangka mampu memperkukuh lagi kedudukan jenama itu sebagai antara peneraju industri hiburan karaoke di Malaysia.
Lebih menarik, konsep inovatif Green Box bakal kembali pada tahun 2026 dengan sasaran sehingga 100 lokasi di seluruh negara.
Fasa pertama pelaksanaannya akan memberi tumpuan kepada kawasan utama seperti Kota Kemuning, Subang Jaya, KLIA2 serta AEON Tebrau City.
Green Box yang direka dalam struktur modular kompak bersaiz 2 meter x 2 meter itu menggabungkan pelbagai fungsi seperti penstriman filem, karaoke, rakaman audio, mesyuarat pintar dan paparan skrin tanpa wayar.
Malah, konsep tersebut turut mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan Rekod ASEAN sebagai hab sosial mudah alih paling lengkap dan pertama di rantau ini.










