Mahu terlalu sedih, gembira pun tidak boleh - Naim Daniel - Utusan Malaysia

Mahu terlalu sedih, gembira pun tidak boleh – Naim Daniel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAU masih mempunyai kes amang seksual yang masih berjalan di mahkamah, pelakon dan penyanyi, Naim Daniel, tidak mengurung diri sebaliknya tetap menjalani sambutan hari raya lalu di Melaka bersama keluarga dan sahabat terdekat. 

Jelas Naim atau Muhammad Naim Daniel Baharin, 29, episod yang disifatkan sebagai sejarah paling hitam dalam hidupnya ditempuh dengan kehadiran dan sokongan orang tersayang iaitu keluara dan rakan-rakan walaupun emosinya sedang terumbang-ambing. 

“Kalau nak kata emosi saya dalam keadaan baik, ia terlalu subjektif. Buat masa sekarang saya menanganinya bersama keluarga dan kawan-kawan, sekarang emosi masih terkesan juga sebenarnya.

“Apalagi sedang bulan raya, tapi saya tahu masih ada kes yang sedang berjalan. Alhamdulillah berkat bantuan dan sokongan semua terutama kesemua ahli keluarga sangat membantu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di perkarangan Mahkamah Putrajaya, baru-baru ini.

Penyanyi Sumpah itu juga bersyukur apabila tidak ada yang bertanya mengenai kesnya yang sedang dibicarakan di mahkamah semasa sesi berziarah sebaliknya hanya berbual mengenai sambutan hari raya sesama sendiri. 

”Saya pun beraya sesama keluarga dan saudara, kami-kami sahaja. Tak ada pula yang bertanya mengenai kes ini,” katanya.

Enggan menyembunyikan atau mengurung diri, Naim berkata jadual hariannya sibuk dengan studio rakaman dan menulis lagu buat rakan-rakan artis.

“Tidaklah berkurung, saya masih ke studio, hadiri undangan persembahan. Sibuk buat lagu untuk artis dan kelmarin baru lepas persembahan raya. Sekarang saya fokus muzik dulu.

“Cuma kadang-kadang, kes ini ada juga lalu dalam fikiran. Apalagi saya anggap ia sesuatu yang besar dalam hidup. Mesti akan terfikir-fikir, cuma saya tak nak biarkan ia ‘makan’ diri saya.

“Kalau nak sedih sangat pun tak boleh, gembira sangat pun tak boleh juga. Macam ada batas, sekarang beginilah keadaan saya,” katanya.

Pilih persembahan tertutup jaga sensitiviti

Akur kes yang berjalan di mahkamah mungkin menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak, Naim bagaimanapun terpaksa menyaring jemputan persembahan dan lebih cenderung menghadiri jemputan majlis tertutup.

Penyanyi itu tidak mahu kehadirannya akan menimbulkan masalah khsusnya dari aspek teknikal atau menyulitkan penganjur. 

“Kalau festival muzik berskala besar, akan dapat liputan luas dan menjadi buah bulut semya orang. Jadi untuk kebaikan, saya tapis undangan dan bila saya hadir penerimaan orang pun baik. Saya buat macam biasa.

”Sama juga di televisyen, kita tidak mahu memberikan kesulitan kepada pihak stesen sebab saya percaya selama ini pun mereka memberika sokongan yang baik buat diri saya,” katanya.

Mengulas mengenai nama kumpulannya MUAH! yang dibuang daripada senarai artis di sebuah festival muzik  berikutan kes amang seksual membabitkan dirinya, Naim mengakui sedikit terkilan namun berlapang dada. 

“Terkilan juga. Tapi Alhamdulillah semua ahli band berlapang dada dan ambil semua ini sebagai hikmah yang tersembunyi. 

“Syukur juga sebab mereka semua ada pekerjaan dan tidak bergantung seratus peratus pendapatan dengan persembahan. Mereka juga hadir menemani saya dan memberi sokongan untuk prosiding hari ini,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN