KUALA LUMPUR: Penyanyi, Lan Solo mengakui telah merendahkan ego demi menjernihkan hubungan dengan gitaris utama kumpulan Kristal, Rody Kristal, namun usaha tersebut tidak membuahkan hasil.
Menurut Lan atau nama sebenarnya Muhammad Razlan Mohamed Yusof, 40, dia telah mengambil inisiatif menghubungi Rody bagi membincangkan kemungkinan kerjasama menjayakan konsert Kristal OG sempena ulang tahun ke-25 perjalanan seni kumpulan itu.
Bagaimanapun, katanya, pelawaan tersebut tidak menerima respons positif apabila Rody didakwa memberikan maklum balas dingin selain sering menangguhkan perbincangan.
“Sejak awal menerima tawaran ini, dia orang pertama yang saya rujuk dan ingin jumpa. Saya cadangkan kami bersemuka memandangkan sudah lama tidak bertemu.
“Namun, dari Jun hingga hampir Ogos tahun lalu, jawapan yang diterima hanya ‘nanti fikir’ dan alasan sibuk sebelum saya membuat keputusan untuk tidak lagi menghubunginya,” katanya.
Lan berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert Kristal OG yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini.

Tambah Lan, disebabkan sudah lama tidak berhubung, Lan terpaksa mendapatkan nombor telefon Rody melalui adiknya, Acap, sebelum cuba menghubunginya.
“Pada awalnya panggilan tidak berjawab, mungkin kerana dia tidak mengenali nombor saya. Namun dia ada bertanya melalui WhatsApp mengenai identiti saya sebelum saya memperkenalkan diri dan menyatakan tujuan untuk berbincang,” ujarnya.
Jelas Lan, hasratnya adalah untuk memperbaiki hubungan selain memenuhi keinginan peminat yang mahu melihat mereka kembali bergabung.
“Saya sudah ketepikan ego kerana merasakan ini masa yang sesuai, namun agak kecewa apabila ia tidak menjadi seperti dirancang,” katanya.
Dalam pada itu, Lan tetap menghormati keputusan Rody dan memilih untuk memberi tumpuan kepada konsertnya yang dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 1 Mei ini.
“Memang saya kecewa, tetapi saya anggap belum ada rezeki. Saya perlu teruskan fokus dan hormati keputusan yang dibuat,” katanya.
Untuk rekod, kemelut antara kedua-dua sahabat ini dipercayai bermula pada 2017 apabila Lan menyertai program realiti Gegar Vaganza musim keempat, yang kemudian membawa kepada keputusan Rody ‘merehatkannya’ sebelum Lan memilih untuk meninggalkan kumpulan Kristal










