Polis marin rampas tujuh tan karkas babi seludup

Polis marin rampas tujuh tan karkas babi seludup

SEBAHAGIAN daripada karkas daging babi seberat tujuh tan yang dirampas dalam serbuan di sebuah jeti haram di Sungai Merbok, Sungai Petani, Kedah semalam.-GAMBAR/PPM WILAYAH SATU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu menumpaskan kegiatan penyeludupan karkas daging babi seberat tujuh tan dalam satu serbuan di sebuah jeti haram di Sungai Merbok, Sungai Petani, Kedah semalam.

Dalam operasi kira-kira pukul 2 pagi itu, tujuh lelaki tempatan turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti memindah serta mengangkut karkas daging itu tanpa permit yang sah.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Jaffri Bidin berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat risikan oleh Unit Risikan Marin (URM) Pulau Pinang dengan kerjasama bot ronda PSC45 menerusi Op Taring Landai dan Op Taring Gelora.

“Ketika diperiksa, semua suspek yang ditahan bagaimanapun gagal mengemukakan sebarang permit kebenaran daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bagi aktiviti tersebut.

“Siasatan awal pula mendapati, karkas daging babi itu dipercayai dibawa masuk dari Thailand melalui jalan laut sebelum dipindahkan melalui jeti berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan tersebut, pihaknya turut merampas dua lori sejuk beku jenis Isuzu Forward dan Mitsubishi Fuso, sebuah bot fiber 40 kaki tanpa nombor pendaftaran, tiga enjin Yamaha 250 kuasa kuda serta beberapa peralatan lain dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah berjumlah RM795,100.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan semua suspek kini ditahan untuk membantu siasatan sebelum diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN