Ini masa sesuai untuk saya kembali ke dunia seni - Dr Azril - Utusan Malaysia

Ini masa sesuai untuk saya kembali ke dunia seni – Dr Azril

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua dekad menumpukan perhatian dalam dunia perniagaan, selebriti dan usahawan,  Datuk Dr Azril Mohd Radzi, kini menyatakan hasrat untuk kembali aktif dalam industri seni yang pernah diceburinya suatu ketika dahulu.

Menurut Azril, minat terhadap dunia seni tidak pernah padam, sebaliknya hanya terhenti seketika apabila dia memberi fokus sepenuhnya terhadap pembinaan empayar perniagaan.

“Saya dah lama sebenarnya dalam bidang ini sejak remaja lagi. Dulu saya banyak buat peragaan, pengacaraan, semua pernah. Cuma selepas itu saya terlalu lama dalam bisnes, jadi fokus saya lebih ke arah perniagaan.

“Sekarang apabila bisnes pun dah berada dalam keadaan stabil, saya rasa ini masa yang sesuai untuk saya kembali kepada minat lama yang terpendam,” katanya.

Tambah Azril, perkembangan pesat dunia digital serta kemunculan ramai usahawan yang aktif di media sosial turut menjadi pencetus kepada keinginannya untuk tampil semula di hadapan khalayak.

“Saya tengok sekarang ramai kawan-kawan usahawan dah mula ke depan, aktif di media sosial seperti TikTok dan sebagainya. Jadi saya rasa macam terpanggil juga, mungkin ini masa untuk saya step up dan kembali aktif dalam industri.

“Selama ini saya lebih kepada ‘offline’, orang nampak saya di televisyen sahaja, tapi dalam dunia online saya agak kurang dikenali,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Azril mengakui cabaran terbesar adalah untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu yang lebih tertumpu kepada platform digital.

“Dunia online ini bagi saya agak mencabar sebab saya dah hampir 20 tahun berada dalam ‘offline’. Jadi mungkin sekarang ini masa untuk saya lebih dikenali, untuk capture new audience. Itu yang saya nampak sebagai peluang sebenarnya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Azril turut menjelaskan, dia kini lebih bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan sekiranya kembali aktif dalam industri hiburan.

“Kalau saya ambil peluang ini, saya kena bersedia untuk terima semua termasuk kritikan. Itu memang sebahagian daripada perjalanan dalam industri.

“Tapi sepanjang lebih 20 tahun saya dalam bisnes, saya cuba elakkan kontroversi. Namun kita tak tahu masa depan, setiap orang ada ujian masing-masing,” ujarnya.

Menyentuh mengenai perancangan masa depan, Azril tidak menolak kemungkinan untuk kembali sebagai pengacara, selain turut mempertimbangkan tawaran lakonan yang diterima.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN