Pernah menyimpan angan-angan untuk bergelar seorang penyanyi suatu ketika dahulu, Farah Rose atau Nur Farah Najihah Rosmi tidak menyangka impiannya itu menjadi kenyataan selepas berjaya melancarkan lagu berjudul Cerita Ku pada 2022.
Bagai plot twist, Farah bukan sahaja berjaya merealisasikan angan-angannya dalam bidang nyanyian, malah dia juga seorang juruterbang yang kini menjadi kerjaya hakikinya.
“Saya sudah mula menyanyi sejak usia 10 tahun dan pernah menyertai pertandingan nyanyian, Bintang Kecil. Kerjaya nyanyian ini sebenarnya lebih kepada hobi.
“Namun, setakat ini saya lebih memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya pada kerjaya hakiki iaitu sebagai juruterbang. Tetapi saya ada juga menerima beberapa jemputan untuk membuat persembahan. Saya juga pernah berlakon juga,” katanya kepada Pancaindera.
Menjadi satu-satunya juruterbang yang menceburi bidang nyanyian, penyanyi berusia 24 tahun itu mendedahkan minatnya untuk menceburi industri penerbangan kerana dirinya sendiri suka melancong bersama keluarga sejak kecil.
“Setiap kali berada di lapangan terbang saya berasa teruja melihat juruterbang. Dari situ juga muncul keinginan untuk menjadi seorang juruterbang.
“Namun, saya sedar bidang ini didominasikan oleh kaum lelaki. Saya juga tertanya-tanya sama ada boleh ke jika seorang wanita menjadi juruterbang. Jadi, saya pun beranikan diri untuk melanjutkan pengajian dalam bidang ini di HM Aerospace Langkawi. Selepas selesai menjalani latihan dan tamat pengajian, saya berjaya buktikan bahawa seorang wanita juga boleh menjadi sebahagian daripada mereka,” jelasnya.

Ditanya mengenai destinasi yang paling gemar untuk dikunjungi, anak kelahiran Langkawi itu memaklumkan dia kerap terbang ke Perth, Australia sejak kecil.
“Jika dulu, saya berada di tempat penumpang untuk ke mana-mana destinasi yang saya pergi, kini saya yang memandu pesawat tersebut ke tempat yang saya mahu pergi.
“Pengalamannya juga sangat berbeza. Secara tidak langsung kerjaya di atas awan ini berkait rapat dengan minat saya yang juga suka melancong,” kongsinya.
Tidak dinafikan sebagai juruterbang wanita, dirinya tidak boleh lari daripada stigma sesetengah pihak yang berpendapat kerjayanya itu hanya boleh diceburi kaum lelaki.
Namun, tanggapan itu tidak mematahkan semangatnya apatah lagi impiannya itu didorong oleh abangnya yang turut berkongsi bidang kerjaya yang sama.

“Saya sudah melalui pelbagai pengalaman selepas menceburi bidang penerbangan ini. Antaranya, orang selalu beranggapan saya bertubuh kecil, lemah lembut dan sopan tidak boleh menjadi seorang juruterbang,” jelasnya.
Farah yang kini bekerja di syarikat penerbangan, AirAsia bagaimanapun mengakui dirinya rindu dan tidak pernah mengetepikan minatnya dalam bidang nyanyian.
“Tidak dinafikan agak sukar untuk saya seimbangkan kerjaya sebagai juruterbang dan penyanyi dalam satu masa. Namun, sebagai juruterbang saya rasa waktu bekerjanya agak fleksibel.
“Saya masih boleh mengisi masa terluang yang saya ada untuk menyanyi sekiranya mempunyai sebarang jemputan. Mana tahu suatu hari nanti saya boleh membuat persembahan di majlis yang AirAsia sendiri anjurkan,” selorohnya.
Sempena Hari Juruterbang Sedunia ini, Farah menyeru agar golongan wanita yang memiliki impian yang sama untuk menjadi seorang ‘pemandu di awan biru’ terus berani untuk merealisasikan cita-cita tersebut.
“Sebagai seorang juruterbang, saya berharap lebih ramai lagi wanita yang berani dan terinspirasi untuk mencapai cita-cita mereka untuk menjadi seorang juruterbang.
“Meskipun industri ini didominasikan oleh kaum lelaki, pedulikan apa yang orang akan bercakap, asalkan cita-cita dan impian itu tercapai. Wanita juga boleh jadi seorang juruterbang meskipun tidak ramai yang berani mencuba,” ujarnya.










