KUALA LUMPUR: Selepas mencipta nama dalam dunia pengiklanan, pengarah kreatif tersohor, Bobby Hussaini kini melakar langkah berani apabila tampil dengan filem sulung berjudul Libang Libu, sekali gus menandakan kemasukan serius beliau ke dalam industri perfileman tempatan.
Dikenali dengan sentuhan visual yang kuat dan karya beremosi tinggi, Bobby bukanlah nama asing dalam kalangan syarikat korporat yang sering mendapatkan khidmatnya bagi menghasilkan iklan berimpak, khususnya menjelang musim perayaan.
Selepas lebih 20 tahun mengukir pengalaman dalam bidang tersebut, anak kelahiran Ipoh, Perak itu merasakan sudah tiba masanya untuk mengembangkan bakat ke medium berbeza, sekali gus mencabar keupayaan diri pada tahap lebih tinggi.
“Peralihan ini bukan sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba. Ia adalah impian yang telah lama disimpan. Saya melihat ini sebagai masa paling sesuai untuk mencuba sesuatu yang lebih besar,” katanya.
Menurut Bobby, pembabitan dalam dunia filem bukan bermaksud meninggalkan bidang pengiklanan yang telah membina namanya, sebaliknya satu langkah memperluaskan spektrum kreatif.
“Saya masih akan terus menghasilkan iklan. Filem ini hanyalah permulaan kepada perjalanan baharu saya dalam dunia pengarahan,” jelasnya.
Mengulas pandangan skeptikal segelintir pihak yang beranggapan gaya pengarahan iklan mungkin terlalu ketara dalam filemnya, Bobby tidak menafikan perkara tersebut.
Bagaimanapun, dia melihatnya sebagai satu cabaran yang perlu dibuktikan menerusi hasil karya.
“Penonton perlu menonton dahulu sebelum membuat penilaian. Ini adalah cabaran yang biasa dihadapi oleh pengarah iklan yang beralih ke filem.
“Apa yang penting, saya tetap menghasilkan karya berdasarkan rasa dan mesej yang ingin disampaikan, bukan sekadar memenuhi jangkaan,” katanya.

Tambahnya, elemen emosi yang sering dikaitkan dengan karya iklannya sebenarnya lahir secara semula jadi daripada kisah-kisah masyarakat yang diketengahkan.
Filem Libang Libu yang bakal menemui penonton pada 23 April ini turut mengundang perbandingan dengan karya Allahyarham Mamat Khalid, terutama dari segi latar dan nuansa penceritaan.
Namun, Bobby menegaskan naskhah tersebut mempunyai identiti tersendiri walaupun mengangkat latar masyarakat Perak.
“Arwah adalah idola saya dan perbandingan itu saya anggap sebagai satu penghormatan. Namun, Libang Libu tetap berdiri dengan gaya tersendiri.
“Filem ini bukan sekadar komedi, tetapi gabungan pelbagai kisah masyarakat yang dekat dengan kehidupan kita,” ujarnya.
Pemilihan Perak sebagai lokasi penggambaran juga bukan kebetulan, sebaliknya mempunyai nilai sentimental kerana ia merupakan tempat beliau membesar.
Selain kekuatan jalan cerita, filem ini turut dibarisi pelakon berkaliber seperti Ameerul Affendi, Beto Kusyairi dan Nabila Huda.
Menurut Bobby, keserasian dan kemampuan pelakon dalam menghidupkan watak menjadi antara faktor utama kejayaan sesebuah naskhah.
“Saya gemar bekerja dalam suasana yang selesa. Apabila pelakon dapat memberikan komitmen penuh, ia memudahkan keseluruhan proses penggambaran.
“Cabaran utama sebenarnya adalah memastikan dialek Perak dapat disampaikan dengan baik tanpa menjejaskan kefahaman penonton,” katanya.
Jelas Bobby, setiap watak dalam Libang Libu memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej yang ingin diketengahkan, sekali gus menepis tanggapan bahawa filem tersebut sekadar komedi ringan.










