KUALA LUMPUR : Pelakon dan usahawan, Ben Ali, mengakui keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diperolehnya suatu ketika dahulu tidaklah membanggakan.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Ben berkata, beliau hanya meraih satu A dalam subjek Lukisan Kejuruteraan, manakala Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sekadar memperoleh gred B, sementara subjek lain menunjukkan pencapaian kurang memuaskan.
“SPM dulu saya dapat satu A sahaja, itu pun subjek Engineering Drawing. English dan BM saya dapat B, yang lain keputusan hancur. Cita-cita dari kecil nak jadi arkitek pun terpaksa dilupakan kerana keluarga tidak mampu.
“Masa umur 18 tahun, saya pernah salahkan nasib. Kenapa keluarga saya tidak seperti keluarga orang lain,” katanya.
Bagaimanapun, Ben menjelaskan perjalanan hidup yang dilalui telah mengubah persepsinya terhadap kegagalan tersebut. Meskipun impian untuk bergelar arkitek tidak kesampaian, beliau percaya setiap yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri.
Malah, Ben menyifatkan dirinya kini tetap bergelar ‘arkitek’, namun dalam konteks berbeza iaitu membina dan merancang perniagaan sendiri.
“Fast forward ke hari ini, saya sangat bersyukur dengan apa yang telah saya lalui. Jika bukan kerana cabaran dan dugaan tersebut, saya tidak akan berada di tahap sekarang.
“Yang paling menarik, rupa-rupanya saya tetap jadi arkitek, tetapi bukan dalam bidang binaan. Sebaliknya, saya menjadi arkitek dalam perniagaan sendiri dengan merancang strategi pemasaran, pelan lantai dan mengubah idea menjadi realiti.
“Saya mungkin tidak melukis di atas kertas, tetapi sentiasa ‘melukis’ di dalam fikiran,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ben turut menitipkan pesanan kepada para pelajar agar tidak mudah berputus asa sekiranya perancangan hidup tidak menjadi seperti yang diharapkan.
“Kadang-kadang perancangan tidak menjadi seperti yang kita mahukan.
“Namun, mungkin ada sesuatu yang lebih baik menanti di masa hadapan,” katanya.










