KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penghibur versatil, Andi Bernadee, kembali menggegarkan industri muzik tanah air menerusi pelancaran single terbaharunya berjudul ‘Aku Nak Kahwin’ yang mengangkat tema realiti kehidupan individu yang sedang gigih menanti kehadiran jodoh.
Karya yang kini sudah tersedia di semua platform digital itu berkisarkan hasrat seseorang yang sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga namun masih mengharapkan urusan pertemuan pasangan hidup dipermudahkan.
Menurut Andi, single ini mempunyai kekuatan tersendiri kerana lirik yang dizahirkan sangat jujur serta mudah difahami oleh segenap lapisan masyarakat yang sedang melalui fasa kehidupan yang sama.
“Lagu Aku Nak Kahwin terasa sangat dekat dengan realiti ramai orang, terutamanya mereka yang sudah lama solo dan bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Mengulas mengenai pemilihan tema, Andi melihat lagu ini sebagai satu nafas baharu dalam landskap muzik semasa yang kini banyak didominasi oleh karya bertemakan kisah kekecewaan dan kecurangan cinta.
Beliau menyifatkan naskhah ini hadir dengan getaran yang lebih ringan serta positif bagi memberikan perubahan mood yang lebih ceria kepada para peminat setianya selepas sekian lama menyepi.
Penyanyi itu turut menyentuh mengenai tekanan sosial dan keluarga yang sering dihadapi generasi muda, terutamanya apabila diajukan soalan mengenai perkahwinan ketika berkumpul bersama sanak-saudara pada musim perayaan.
Dari aspek teknikal, lagu ini menampilkan keunikan tersendiri menerusi gabungan elemen nyanyian melodi dan rap yang memberikan warna segar kepada identiti muzik beliau dalam pasaran tempatan.
“Apa yang menarik adalah gabungan dua elemen berbeza, nyanyian melodi dan rap yang memberikan warna tersendiri kepada lagu ini, dan pada masa sama menjadi satu cabaran yang menyeronokkan untuk saya,” jelasnya lagi.
Biarpun proses penerbitan album penuh ‘Ding Geding’ ini pernah tertangguh akibat masalah kesihatan sebelum ini, Andi kini meluahkan rasa syukur kerana dapat kembali dengan semangat baharu untuk berkongsi karya tersebut kepada umum.










