KUALA LUMPUR: Penyanyi, Amir Masdi bakal membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa apabila dijadual menyertai sebuah pertandingan orkestra berprestij di Amsterdam, Netherlands bersama SP Winds dalam masa terdekat.
Menurut Amir, penyertaannya itu bukan sahaja menjadi satu penghormatan besar, malah turut membuka ruang untuknya bekerjasama rapat dengan para pelajar dan pemuzik muda dalam sebuah persembahan khas menerusi konsert kutipan dana berjudul Winds of Glory.
Katanya, konsert tersebut menjadi sebahagian daripada persiapan penting sebelum mereka berlepas ke Netherlands bagi menyertai pertandingan yang dikenali sebagai Olympics of Orchestra.
“Dahulu, semasa mereka memanggil saya untuk menyertai pertandingan pada tahun ini di Amsterdam, Netherlands, kami merancang untuk mengadakan sebuah konsert iaitu Winds of Glory.
“Konsert ini merupakan konsert kutipan dana yang mempamerkan persembahan daripada saya dan GKSB Winds. Mungkin juga itu salah satu cara untuk kami berlatih sebelum ke sana. Jadi, itulah persediaannya,” katanya.
Dalam pada itu, Amir berkata, jadual latihan juga perlu disusun dengan teliti memandangkan kebanyakan ahli orkestra terdiri daripada pelajar sekolah yang sedang menduduki peperiksaan.
Mengulas mengenai pemilihan lagu yang bakal dipersembahkan di Amsterdam, Amir mengakui perkara itu masih belum dimuktamadkan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak orkestra yang lebih arif tentang format pertandingan tersebut.
“Mengenai lagu yang akan dibawakan nanti, untuk ke Netherlands, kami belum memutuskan lagu yang akan dipersembahkan. Saya akan serahkan perkara itu kepada mereka kerana mereka lebih mengetahui tentang pertandingan tersebut.
“Namun, untuk konsert ini, sudah tentu ia merupakan kolaborasi antara Amir Masdi dan SP Winds. Kami menerapkan beberapa buah lagu yang akan dimainkan untuk menonjolkan kemahiran mereka dalam orkestra, selain lagu-lagu saya sendiri,” jelasnya.
Amir turut berkongsi bahawa antara faktor utama dirinya dipilih oleh SP Winds adalah kerana kebolehannya menyampaikan lagu dalam pelbagai bahasa, sesuatu yang dianggap penting untuk persembahan bertaraf antarabangsa.
“Apa yang saya tahu, mereka mengatakan bahawa mereka mahu penyanyi yang serba boleh dan mampu menyanyi dalam pelbagai bahasa. Mungkin ada lagu dalam bahasa Inggeris yang ingin dibawakan, atau bahasa-bahasa lain.
“Sebelum ini, saya pernah menyanyikan lagu dalam bahasa Itali di MPO (Malaysian Philharmonic Orchestra) dan lagu dalam bahasa Jepun semasa di Jepun. Saya mempunyai pengalaman menyanyi dalam beberapa bahasa, yang sememangnya tidak mudah.
“Jadi, saya amat berharap agar dapat memberikan persembahan yang baik kali ini bersama SP Winds,” katanya lagi.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Nurcinta itu mengakui agak gementar apabila perlu mengimbangi dua komitmen besar dalam tempoh yang sangat dekat, termasuk persiapannya untuk AJL dan pertandingan di Netherlands.
“Memandangkan akan ada pertandingan selama dua bulan berturut-turut, saya dan pasukan saya juga agak terkejut kerana jarak antara kedua-dua pertandingan ini sangat dekat.
“Saya tidak boleh melebihkan mana-mana satu pertandingan. Saya perlu adil dan mengimbangi kedua-duanya kerana AJL sangat penting bagi kerjaya individu saya, manakala SP Winds pula sangat penting buat para pelajar tersebut,” katanya.
Menurut Amir, tanggungjawabnya terhadap para pelajar itu cukup besar kerana mereka mengharapkan tunjuk ajar daripada seseorang yang lebih berpengalaman dalam industri muzik.
“Mereka sudah tentu mengharapkan bimbingan daripada seseorang yang lebih berpengalaman. Jadi, sayalah yang paling berpengalaman dalam kalangan mereka.
“Saya percaya mereka sangat hebat kerana mereka mampu membaca skor muzik secara serta-merta,” katanya.
Bagaimanapun, Amir tidak menafikan wujud sedikit kebimbangan untuk ke Netherlands memandangkan situasi semasa dunia, namun tetap berharap semuanya berjalan lancar.
“Saya juga berasa bimbang untuk ke Netherlands memandangkan keadaan semasa. Namun, saya berharap keadaan akan menjadi lebih baik.
“Saya benar-benar berharap agar pada waktu itu tiada perkara serius yang berlaku dan diharapkan kami semua dapat pergi dengan hati yang tenang,” ujarnya.
Untuk konsert Winds of Glory, seramai 92 orang terlibat termasuk ahli orkestra dan pasukan produksi, manakala dengan tambahan lima orang ahli kumpulan muzik Amir, jumlah keseluruhan menjadi 97 orang.
Setakat ini, Amir masih belum menerima butiran lengkap mengenai pertandingan tersebut, namun difahamkan kebanyakan peserta terdiri daripada kumpulan orkestra dari pelbagai organisasi termasuk sekolah dan universiti.










