Penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini berpandangan, kreativiti dalam penghasilan lagu raya tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang salah, selagi karya tersebut masih mengekalkan identiti serta menghormati adat dan sensitiviti masyarakat.
Mengulas kenyataan Ratu Lagu Etnik negara, Noraniza Idris yang berpendapat lagu raya tidak perlu terlalu kreatif kerana bimbang ‘soul’ hari raya akan hilang, Hael berkata perkara itu sebenarnya bergantung kepada perspektif masing-masing dalam industri muzik.
Mengulas pandangan Noraniza Idris mengenai isu kreativiti dalam lagu raya, Hael berkata industri muzik tempatan sememangnya sentiasa berkembang dan memerlukan keseimbangan antara tradisi dan pembaharuan.
“Bagi saya, ini bergantung kepada pendapat masing-masing. Industri muzik Malaysia semakin berkembang dan saya melihatnya dari sudut positif.
“Setiap lagu yang dihasilkan, asalkan ia menepati identiti lagu kita dan tidak melanggar sensitiviti ataupun adat kita, itu sudah memadai. Muzik akan sentiasa berkembang,” katanya.
Dalam masa sama, Hael mengakui pandangan Noraniza mengenai kepentingan mengekalkan warisan muzik tradisional juga tidak boleh diketepikan.
“Apa yang Kak Ani katakan itu betul, kita tidak boleh melupakan adat atau muzik-muzik lama. Tetapi pada masa yang sama tidak salah untuk meletakkan pembaharuan.
“ Alhamdulillah, setiap artis ada cara pemasaran mereka sendiri. Ada artis lama yang mungkin mahu bergerak ke hadapan, ada juga yang memilih untuk kekal dengan identiti yang sama,” ujarnya.

Tambah Hael, pendengar hari ini juga semakin matang dalam menentukan karya yang ingin mereka nikmati.
“Sebagai pendengar, saya rasa kita sudah cukup bijak untuk memilih karya mana yang kita mahu dengar.
“Mudah sahaja, kita tak boleh paksa orang yang tak minum kopi untuk minum kopi. Ada orang yang tak boleh makan pedas, jadi kita tak boleh paksa mereka makan pedas.
“Jadi semuanya terpulang kepada pendengar untuk memilih karya mana yang mereka mahu hargai, dan pada masa yang sama lagu-lagu raya lama juga tidak harus kita lupakan,” katanya.
Selain itu, Hael turut melihat lambakan lagu raya yang dihasilkan setiap tahun sebagai sesuatu yang positif kepada perkembangan industri muzik tempatan.
“Tahun ini lagu raya juga agak meriah. Sebagai seorang penulis lagu, bagaimana saya melihat suasana ini? Bagi saya, ia sesuatu yang baik. Apabila kita tengok lagu raya, ada lagu yang saya boleh dengar dan ada yang saya tak pilih untuk dengar. Semuanya bergantung kepada pendengar sebenarnya.
“Semakin banyak lagu raya yang dihasilkan, semakin bijak pendengar membuat pilihan. Pada masa yang sama, ia menunjukkan idea kreatif rakyat Malaysia, terutamanya para penerbit dan penulis lagu, yang berlumba-lumba menghasilkan karya yang lebih baik.
“Saya melihat semua ini dari sudut positif. Dalam pembikinan lagu sebenarnya tidak ada betul atau salah,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hael turut berkongsi mengenai penghasilan lagu rayanya buat penyanyi tersohor, Datang Nurfaizah menerusi lagu berjudul Senyum Gugur Di Penghujung Doa.
“Tahun ini juga adalah kali pertama saya buat lagu raya untuk artis lain, dan Dayang Nurfaizah ialah artis pertama yang saya hasilkan lagu raya untuknya.
“Sebenarnya demo lagu Dayang itu saya sudah siapkan lebih awal. Tapi untuk tahun ini saya nak buat sesuatu yang sedikit berbeza. Penyampaian lagu itu diberikan dengan sangat indah oleh Dayang. Alhamdulillah, saya tak jangka juga kerana kita tahu hari raya biasanya semua orang mahu bergembira dan meraikan kemenangan.
“Tetapi sebagai wakil kepada mereka di luar sana, saya juga tak boleh lupakan bahawa ada sesetengah orang yang menyambut hari raya dalam keadaan yang berbeza.
“Jadi lagu itu memang saya tujukan kepada mereka yang mungkin menyambut hari raya dengan suasana yang tidak sama seperti tahun-tahun sebelumnya,” katanya.










