Bagi kebanyakan orang, Hari Raya Aidilfitri sering dikaitkan dengan kemeriahan yang diraikan bersama keluarga tercinta setelah sebulan berpuasa.
Namun bagi pengarah terkenal, Michael Ang, Aidilfitri sarat dengan makna yang jauh lebih peribadi dari segi kenangan, penerimaan dan perubahan.
Sebagai seorang mualaf yang sudah hampir sedekad memeluk Islam, Michael atau lebih mesra disapa Mike mengakui sambutan raya dalam hidupnya kini sudah menjadi sebahagian daripada rutin yang sederhana.
Namun di sebalik kesederhanaan itu, tersimpan satu kenangan manis yang tidak mungkin dilupakan iaitu detik keluarganya meraikan Aidilfitri bersamanya pada tahun pertama dia memeluk Islam.
“Yang paling bermakna adalah pada tahun pertama saya beraya sebagai seorang mualaf. Sebagai tanda keluarga saya menerima keputusan saya memeluk Islam, mereka meraikan saya dengan juadah raya yang lengkap di rumah ibu saya. Selepas itu, ia menjadi perkara biasa sahaja
“Pada saya, raya ini kebiasaannya lebih untuk anak-anak yang selalu teruja meraikannya. Sama juga seperti sambutan Tahun Baharu Cina sebelum saya memeluk Islam, ia sekadar satu perayaan sahaja,” katanya kepada Pancaindera.
Berkongsi mengenai rutinnya semasa menjelang Aidilfitri, pengarah yang berusia 56 tahun itu memberitahu dirinya juga tidak terlepas daripada membuat persiapan untuk menyediakan pakaian lengkap serta memasak juadah raya buat keluarga tersayang.
“Biasanya persiapan raya hanya melibatkan menyediakan baju raya untuk anak-anak. Pada malam raya atau keesokan harinya, keluarga saya akan datang ke rumah untuk makan atau saya akan pergi ke rumah ibu saya.
“Ada beberapa tahun sambutan raya dibuat di rumah ibu saya, terutamanya untuk makan pagi selepas solat raya. Tahun lepas diadakan di rumah saya dan tahun ini pun sama kerana ibu saya berada di Shanghai dan tidak berada di Malaysia.
“Jadi pada hari pertama raya, abang-abang saya akan datang ke rumah saya. Kalau di rumah ibu saya, kami akan berkumpul seperti biasa. Mereka akan datang, ucap Selamat Hari Raya, makan bersama dan berbual seperti perjumpaan keluarga biasa sahaja,” kongsinya.
Tambah pengarah prolifik itu, sebagai seorang yang introvert dia sering pergi melancong selepas meraikan raya pertama bersama keluarga.
“Sejujurnya, saya seorang yang agak introvert. Saya memang tidak begitu minat dengan perayaan sejak kecil lagi, termasuk Tahun Baharu Cina. Biasanya pada pagi Tahun Baharu Cina atau Hari Raya, saya akan berkumpul bersama keluarga, minta maaf dan bersalaman. Kemudian, saya akan masuk ke bilik kerana saya tidak begitu selesa dengan suasana yang terlalu bising atau ramai orang.
“Sebelum ini, pada hari pertama sahaja saya berada di Malaysia. Hari kedua saya biasanya akan terbang ke luar negara untuk bercuti kerana saya lebih suka melancong. Untuk tahun ini saya akan bercuti di Pulau Pinang,” jelasnya.

Selain berkongsi tentang sambutan raya, Mike juga tidak ketinggalan memberi pandangan mengenai fenomena lagu raya yang semakin rancak dihasilkan setiap tahun.
Menurutnya, deretan pelancaran lagu raya juga menjadi salah satu perkara yang dinanti-nantikan setiap kali raya menjelma selain berharap ia membawa mesej yang indah dan menghidupkan semangat Aidilfitri.
“Lagu raya boleh menaikkan ‘mood’ dan membuatkan suasana lebih ceria. Tetapi ia bukan untuk dijadikan bahan sensasi atau sekadar mahu orang bercakap mengenainya.
“Bagi saya, banyak lagu raya sekarang agak mengarut dan tidak mempunyai makna. Seperti tahun lalu, banyak juga lagu raya yang menarik dihasilkan seperti Meriah Lain Macam dan Alamak Raya Lagi yang mesejnya juga sampai ke hati,” katanya lagi.
Sempena Aidilfitri tahun ini, Mike menitipkan pesanan agar masyarakat menyambut perayaan dengan lebih sederhana memandangkan keadaan ekonomi dan situasi dunia yang tidak menentu memerlukan semua pihak lebih berhati-hati dalam berbelanja.
“Raya tahun ini sambutlah dengan berjimat cermat. Keadaan dunia dan ekonomi sekarang tidak menentu. Luangkan masa bersama orang yang benar-benar kita sayang dan mereka yang memerlukan kita.
“Tidak perlu melakukan perkara berlebihan. Kembali kepada tradisi lama seperti ziarah ibu bapa, minta maaf, jumpa saudara-mara dan beri duit raya kepada anak-anak. Pakai sahaja baju raya yang ada, tidak perlu beli baharu jika tidak perlu. Rayakan dengan sederhana sahaja,” ujarnya.











