KUALA LUMPUR: Tular di media sosial satu perkongsian daripada warganet yang mendakwa, amalan pemberian duit raya kepada golongan isteri semakin menjadi kebiasaan dalam kalangan suami sejak ia dibangkitkan oleh pelakon dan selebriti terkenal, Nur Fazura.
Menerusi satu hantaran, seorang pengguna media sosial meluahkan penghargaan terhadap pelakon itu dengan menyatakan bahawa suaminya kini tidak lagi terlepas memberi duit raya kepadanya setiap kali Aidilfitri.
“Besar jasa Fazura kepada isteri-isteri seluruh Malaysia. Sejak dia menyebut tentang duit raya isteri, suami saya tak pernah ‘skip’ beri duit raya lagi selepas itu,” katanya di Threads.
Perkongsian tersebut pantas meraih perhatian ramai dengan pelbagai reaksi netizen yang rata-rata bersetuju dan menganggap ia sebagai satu amalan kecil namun bermakna dalam menghargai pasangan.
Mengulas mengenai perkara itu, Fazura tampil memberikan respons penuh positif dan menyentuh hati.
“Allahuma barik. Walaupun RM5, mesti hati berbunga-bunga, betul? Selamat berbahagia semua ‘sisters’ ku dan semoga Allah SWT kurniakan rezeki yang bertambah serta keredhaan-Nya buat suami kalian pula. Amin,” katanya.
Respons itu turut diikuti dengan banyak lagi komen-komen positif warganet khususnya golongan isteri yang memuji pelakon tersebut.
“Setuju. Ramai yang mula sedar, walaupun duit raya bukan kewajiban tetapi dengan memberi duit raya buat isteri senyum senyuman, ” tulis seorang pengguna.
“Alhamdulillah, para suami makin faham, isteri bukan minta duit raya berjuta pun, sekadar memori dan tanda ingatan yang isteri tunggu. Syabas Fazura, sudah menyedarkan suami,” tulis pengguna lain.
“Saya pun tumpang gembira ramai para isteri dapat duit raya tahun ini. Memanglah duit raya itu bukan nafkah wajib tapi sebagai tanda kasih sayang, menghargai isteri dan anak-anak. Walaupun suami sudah belikan baju raya bagai ape salahnya bagi duit raya RM50 pun jadilah, mesti gembira hati isteri.
“Inikan pula pendatan RM300,000 tapi tak pernah beri duit raya yang setahun sekali itu pada anak isteri. Nak-nak pula mak adik beradik diberi, anak isteri tak diberi. Mahu tidak sedih, kecil hati isteri,”tulis seorang lagi pengguna.
Sebelum ini,aktres itu pernah mendakwa dia dan anaknya, Nur Fatima Aisya tidak pernah merasa duit raya pemberian bekas suaminya, Fattah Amin sepanjang empat tahun mereka hidup sebagai suami isteri.
Fazura berkata, dia pelik dengan apa yang berlaku memandangkan bekas suaminya itu berpendapatan besar hingga mencecah ratusan ribu ringgit di samping memperoleh pelbagai nilai penajaan tinggi daripada pelbagai jenama.
Fazura sah bercerai dengan Fattah pada 7 Oktober 2024.
Pasangan selebriti terbabit berumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan cahaya mata, Nur Fatima Aisya, 6.










