PETALING JAYA: “Dari kecil saya jaga, makan pakai, tempat tinggal semua elok dan sempurna. Dah besar, kau buat main saja anak aku! Kurang ajar sangat itu! Mencabar sangat ini.”
Demikian kata pelakon, Abby Abadi berang apabila maruah anak perempuannya, Marissa Dania Hakim seolah dipermainkan oleh menantunya, Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid.
Teguh mempertahankan anak tersayang, Abby menyifatkan tindakan lelaki itu sebagai kurang ajar, bahkan dia tidak akan berdiam diri melihat Marissa terus menerima hentaman netizen sejak dua tahun lalu.
“Diam saja Abby, biarkan. Dia yang buat begitu begini, dia yang pilih. Dia itu siapa? Yang dimaksudkan Marissa, kan? Marissa itu anak saya! Bukan batang kayu!
“Dua tahun sudah saya biarkan dia dicaci maki, dihamun sesuka hati sebab kelemahan dia sendiri. Dah sampai talak dilafaz berkali-kali, tak boleh ke saya bersuara? Itu anak saya. Mamanya masih hidup lagi. Anak itu baru 20 tahun,” katanya di Threads.
Terdahulu, Abby juga menyarankan agar pihak perundangan syariah Malaysia mengenakan hukuman sewajarnya kepada golongan lelaki yang gagal mendaftar sijil pernikahan selepas berkahwin di luar negara.
Kata Abby, tindakan sedemikian perlu dijalankan agar memberi pengajaran kepada pihak lelaki selain mampu membela nasib pihak perempuan yang sering dipandang hina oleh orang ramai.
“Tolonglah Mahkamah Syariah di Malaysia, isu-isu sebegini tak boleh nak bertindak apa-apa ke untuk beri pengajaran pada pihak lelaki?
“Sudahlah nikah luar Malaysia, dengan tiada pengesahan sijil nikahnya, dah dua tahun dah. Pihak perempuan saja dipandang hina.
“Tak menjadi kesalahan ke di Malaysia bila lelaki perangai sebegini? Suka hati saja nak buat apa. Kalau mak ayah bertindak, takut kita pula yang ke dalam,” ujarnya.
Sebelum ini, Marissa dan Aslam hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi menghadiri prosiding lafaz cerai dan rujuk, pada 30 Mac.
Difahamkan, Aslam didakwa pernah melafazkan cerai terhadap Marissa sebanyak dua kali di luar mahkamah, masing-masing pada tahun 2024 dan 2025, sebelum melakukan lafaz rujuk pada tahun yang sama.
Malah, pasangan itu pernah hadir ke mahkamah yang sama untuk mengesahkan status pernikahan mereka pada 27 Mei 2025.










