Artis baharu kongsi cerita lebaran - Utusan Malaysia

Artis baharu kongsi cerita lebaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari Raya sentiasa menjadi detik yang paling dinanti oleh umat Islam, dan bagi artis baharu yang sedang meniti populariti, sambutan ini membawa makna yang lebih mendalam. Di sebalik kesibukan jadual seni dan komitmen kerja, Aidilfitri memberi ruang untuk mereka kembali kepada akar keluarga, tradisi dan kenangan zaman kanak-kanak.

Bagi sesetengah artis baharu, inilah masa untuk memperlahankan langkah, mengenang perjalanan hidup serta menghargai sokongan keluarga yang sentiasa menjadi tulang belakang kejayaan mereka.

Walaupun populariti semakin meningkat, nilai kesederhanaan dan tradisi tetap menjadi keutamaan. Dari persiapan baju raya, juadah tradisional hinggalah aktiviti kunjung-mengunjung, pengalaman ini sering dikongsi sebagai kenangan yang paling bermakna.

Berikut adalah antara bingkisan sambutan lebaran daripada Ikhmal Nour, Ehin serta Ijaa Ishak.

IKHMAL NOUR

Jika ditanya mengenai hari raya, penyanyi dan pempengaruh media sosial, Ikhmal Nour, mengakui sering mengaitkannya dengan suasana dan lagu-lagu menarik berkonsep raya.

Antara lagu raya yang paling dekat di hatinya ialah lagu Untukmu Yang Jauh Di Mata, yang sering diputarkan oleh ibunya setiap kali menjelang Aidilfitri.

Katanya, lagu tersebut sentiasa mengingatkannya kepada suasana di rumah ketika membantu ibunya menyiapkan kuih raya untuk dijual.

“Sejak kecil lagi saya selalu dengar lagu itu kerana ibu suka pasang ketika sedang membuat kuih raya. Saya pula akan tolong ibu di dapur sambil dengar lagu tersebut,” katanya ketika berkongsi kisah kenangan raya.

Selain itu, Ikhmal turut mengakui lagu klasik Selamat Hari Raya mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana sering dinyanyikan oleh arwah neneknya pada pagi raya.

“Dulu nenek akan menyanyi sambil memakaikan kami samping dan songkok sebelum ke masjid untuk solat sunat Aidilfitri. Setiap kali dengar lagu itu, saya terus teringat momen tersebut,” ujarnya.

Berkongsi rutin pagi raya pula, Ikhmal berkata dia perlu bangun awal terutama apabila pulang beraya di kampung kerana rumah akan dipenuhi saudara-mara.

“Kalau balik kampung, memang kena bangun awal. Nak berebut bilik air untuk mandi dan bersiap sebelum pergi solat raya,” katanya sambil ketawa.

Mengimbau kenangan lucu ketika kecil, Ikhmal berkata dia pernah dimarahi tuan rumah kerana hanya datang beraya untuk mendapatkan duit raya.

“Waktu itu saya ikut abang dan kakak sepupu beraya dari rumah ke rumah. Lepas banyak rumah, perut dah kenyang dengan kuih raya, jadi kakak sepupu cadangkan kita ketuk pintu dan minta duit raya saja.

“Dia akan cakap, ‘Assalamualaikum, kami datang nak duit raya.’ Akhirnya kami kena halau juga,” katanya sambil mengakui kejadian itu antara kenangan yang paling sukar dilupakan.

IJAA ISHAK

Penyanyi baharu, Ijaa Ishak, mengakui sambutan Hari Raya Aidilfitri sentiasa membawa makna yang cukup istimewa dalam hidupnya, terutama kerana ia menjadi peluang terbaik untuk berkumpul dan mengeratkan hubungan bersama keluarga tercinta.

Mengimbau kenangan ketika zaman kanak-kanak, Ijaa berkata antara pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan ialah ketika keluar bersama rakan-rakan sekampung untuk mengutip duit raya.

“Waktu kecil dahulu kami ramai-ramai berjalan kaki dari rumah ke rumah untuk mengutip duit raya. Pernah satu ketika kami dikejar anjing ketika lalu di sebuah rumah. Waktu itu memang kelam-kabut, tetapi sekarang bila dikenang semula, ia jadi kenangan yang sangat lucu,” ujarnya.

Bercerita mengenai jumlah duit raya yang pernah dikumpul, penyanyi itu berkata jumlah paling banyak yang pernah diterimanya ialah sekitar RM500.

Menurutnya, wang tersebut digunakan untuk membeli sebuah basikal ketika masih di bangku sekolah rendah.

“Bagi budak-budak, RM500 memang sangat banyak. Saya gunakan duit raya itu untuk membeli basikal. Masa itu rasa sangat gembira kerana akhirnya dapat basikal sendiri untuk pergi ke sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Ijaa turut berkongsi tradisi keluarganya setiap kali menjelang Aidilfitri, antaranya mengisi kuih raya bersama-sama dan mengadakan sesi karaoke keluarga.

“Keluarga saya memang suka menyanyi. Jadi setiap kali raya, kami akan berkaraoke dan menyanyikan lagu-lagu raya bersama-sama. Itu antara aktiviti yang paling menyeronokkan kerana semua dapat berkumpul dan meluangkan masa bersama,” katanya.

Menurut Ijaa lagi, aktiviti bergambar juga menjadi tradisi wajib keluarganya setiap pagi raya memandangkan kebanyakan ahli keluarganya terdiri daripada perempuan.

EHIN

Bagi penyanyi, Ehin, kemeriahan raya tidak lengkap tanpa alunan lagu-lagu klasik yang membangkitkan kenangan zaman kecil di kampung bersama keluarga tersayang.
Menurut Ehin, antara lagu raya yang paling dekat di hatinya sejak kecil ialah Jom Balik Kampung nyanyian Allahyarham Sudirman Arshad.

“Sejak kecil lagi memang lagu itu yang paling selalu Ehin dengar. Bila dengar sahaja lagu itu, memang rasa macam raya sudah dekat. Perasaan nak balik kampung berjumpa keluarga dan sanak saudara terus membuak-buak,” katanya.

Tambahnya lagi, lagu tersebut sering menjadi ‘isyarat’ tidak rasmi bahawa Aidilfitri semakin hampir.

“Boleh dikatakan bila lagu itu dimainkan, terus ada ‘perasaan raya’ dalam kepala,” ujarnya.

Selain itu, Ehin turut berkongsi bahawa setiap pagi raya, satu lagu klasik pasti menjadi pilihannya iaitu Selamat Hari Raya nyanyian Allahyarhamah Saloma.

Menurutnya, lagu tersebut membawa kembali kenangan ketika zaman kanak-kanak sebelum era media sosial.

“Masa kecil dulu belum ada TikTok atau platform lain. Jadi kalau nak dengar lagu raya, kena tunggu depan radio. Bila lagu itu keluar, memang Ehin karaoke sorang-sorang walaupun macam orang gila,” katanya sambil ketawa.

Berkongsi kenangan raya, kata Ehin, di sebalik kegembiraan sambutan raya, Ehin turut menyimpan memori paling menyentuh hati apabila mengenang Aidilfitri terakhir bersama arwah ayahnya ketika dia berusia enam tahun.

“Itu raya terakhir kami bersama sebelum ayah meninggal dunia. Kalau boleh putar masa, itulah saat yang Ehin paling ingin kembali,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN