54 Pemuzik gegar SoundCircus dan Art of Speed 2026 Ogos ini - Utusan Malaysia

54 Pemuzik gegar SoundCircus dan Art of Speed 2026 Ogos ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Festival budaya automotif dan gaya hidup, Art of Speed 2026 (AOS 2026) kembali memeriahkan kalendar acara negara apabila bakal berlangsung pada 1 dan 2 Ogos ini di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS).

Memasuki edisi ke-15 sejak penganjuran sulungnya, AOS 2026 dijangka sekali lagi menghimpunkan peminat automotif, seni dan budaya pop dari dalam serta luar negara dengan pelbagai aktiviti, pameran dan persembahan muzik sepanjang dua hari acara berlangsung bermula jam 10 pagi hingga lewat malam.

Penganjuran kali ini turut menampilkan kemunculan semula Festival SoundCircus, yang sebelum ini tidak dianjurkan selama dua tahun. Festival muzik tersebut bakal berlangsung di kawasan seluas empat ekar dengan enam pentas persembahan yang menampilkan gabungan artis tempatan, serantau dan antarabangsa.

Pengarah Festival Art of Speed Malaysia (AOSM) dan SoundCircus Summer Festival 2026, Asep Ahmad Iskandar berkata, edisi tahun ini menandakan evolusi baharu festival dengan impak lebih besar terhadap industri kreatif serta pembangunan pelancongan negara.

Menurutnya, sejak diperkenalkan pada 2017, SoundCircus diwujudkan sebagai platform muzik khusus bagi menyokong bakat sedia ada serta artis baharu, terutama dalam ekosistem muzik bebas dan bawah tanah Malaysia.

“Pada 2019, SoundCircus berkembang daripada acara dalaman kepada festival luar di MAEPS dengan kehadiran lebih 5,000 pengunjung. Perkembangan ini membuktikan pengaruhnya yang semakin meningkat dalam industri hiburan langsung di rantau ini,” katanya.

Konsep Persembahan Istimewa

Antara tarikan utama SoundCircus 2026 ialah beberapa konsep persembahan khas yang menggabungkan artis dari pelbagai generasi dan negara.

Ini termasuk persembahan Cokelat X Ella yang tampil menerusi konsep ‘Takhta Ratu Nusantara’, menyatukan dua legenda muzik dari Indonesia dan Malaysia di atas satu pentas.

Selain itu, gabungan kumpulan rock Jemson X Def Gab C menerusi konsep ‘Legends X Renegades’ bakal menghimpunkan dua generasi pemuzik rock, manakala kumpulan Slatan pula meraikan ulang tahun mereka menerusi konsep “010.8 FM Present: Hari Slatan”.

Pengunjung turut disajikan persembahan unik ‘Dikir Kustom’ oleh Issey dan The Clique yang mengangkat muzik rakyat tempatan dalam tema budaya kustom.

Tidak ketinggalan konsep ‘Power Pop Yeah Yeah’ yang menyaksikan kolaborasi pertama antara dua generasi anak dan ayah iaitu Couple dan Adnan Othman, selain persembahan ‘30 Years of Asian Hardcore’ bagi meraikan perkembangan muzik hardcore di rantau ini.

Festival SoundCircus 2026 akan mempersembahkan barisan artis dalam tiga fasa. Setakat ini, Fasa 1 dan Fasa 2 telah mengumumkan penyertaan puluhan pemuzik dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Jepun.

Antara artis yang bakal membuat persembahan termasuk The Jansen, Masdo, Midnight Fusic, Sweetass, Johny Comes Lately, Second Combat, Krusty, After Midnight serta beberapa DJ seperti DJ Queizham, DJ Miko Naiko dan DJ Creamminalsm.

Fasa kedua pula menampilkan lebih ramai artis antarabangsa seperti Nadin Amizah, Tenxi, High Therapy, Straight Answer, Johnny Pandora, selain kolaborasi khas Cokelat X Ella, Jemson X Def Gab C, Couple X Adnan Othman serta penampilan Iqbal M.

Turut memeriahkan festival ialah kumpulan dan artis seperti Moneybag, Empty Page, Tricks, Ya Bunayya, Piponation, Ruckyard, Omnisync, K.O.I, Paylark, Nemesys, Citykops dan Overthrown dari Singapura.

Asep berkata, pengumuman artis bagi Fasa 3 akan dibuat dalam masa terdekat.

Kerjasama Tourism Selangor

Dalam pada itu, penganjuran AOS 2026 turut mendapat sokongan Tourism Selangor sebagai rakan strategik bagi memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab pelancongan budaya dan industri kreatif.

Menurut Asep, kerjasama tersebut dijangka menarik lebih ramai pengunjung tempatan serta pelancong antarabangsa, sekali gus merancakkan sektor pelancongan, perhotelan dan ekonomi negeri.

Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan tiket Art of Speed 2026 pada harga RM35, manakala tiket SoundCircus ditawarkan dalam beberapa kategori bermula RM89 hingga RM388 bergantung kepada pakej yang dipilih.

Fasa pertama penjualan tiket telah bermula pada 1 Februari 2026, diikuti Fasa 2 pada 12 Mac 2026, manakala Fasa 3 akan diumumkan kelak.

Dengan pelbagai persembahan muzik, pameran automotif, fesyen serta aktiviti budaya pop, AOS 2026 dijangka menjadi antara acara gaya hidup terbesar yang dinanti-nantikan peminat pada tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN