HULU LANGAT: Penyanyi, Irene Catalina tidak melepaskan peluang memeriahkan musim Aidilfitri tahun ini dengan tampil bersama single raya pertamanya berjudul Vibes Hari Raya.
Lebih menarik, lagu terbitan 78 Empire Records itu menyaksikan Irene bergandingan dengan penyanyi, Nuim dalam sebuah kolaborasi yang mengetengahkan konsep moden dan segar, sesuai dengan cita rasa generasi masa kini.
Menurut Irene, 48, penghasilan lagu tersebut cukup istimewa buat dirinya memandangkan ini merupakan kali pertama dia merakamkan lagu raya sepanjang bergelar penyanyi.
“Lagu ini sangat dekat di hati saya kerana ia lagu raya pertama saya. Ia menampilkan bunyian segar dan menggambarkan suasana sambutan Aidilfitri generasi sekarang yang lebih moden dan meriah.
“Tradisi seperti memberi duit raya masih ada, tetapi kini ada yang menggunakan kaedah imbasan kod QR. Dari segi muzik pula, ia rancak, ‘catchy’ dan mudah untuk dinyanyikan bersama,” katanya.
Mengulas mengenai gandingan bersama Nuim, Irene mengakui penyanyi itu bukan asing dalam perjalanan seninya, malah sering memberi sokongan sejak awal pembabitannya dalam industri.
“Nuim banyak menyokong saya sejak single pertama, Mau Apa Lagi. Selain itu, dia mempunyai tona suara yang tinggi dan unik, jadi saya rasa dia memang sesuai untuk lagu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Irene tidak melihat lambakan lagu raya baharu yang dihasilkan artis lain sebagai satu persaingan, sebaliknya menganggap ia sebagai satu perkongsian kegembiraan sempena Aidilfitri.
“Saya tidak melihatnya sebagai persaingan kerana lagu ini lebih kepada kepuasan diri. Selama ini saya banyak menyanyikan lagu orang lain, jadi kali ini saya mahu berkongsi karya sendiri dengan pendengar,” ujarnya.
Mengenai proses pembikinan lagu, Irene berkata, keseluruhan proses mengambil masa kira-kira dua bulan dan digubah oleh Bendittho atau Addiq Afdzal, komposer sama yang menghasilkan Mau Apa Lagi.
“Alhamdulillah, proses berjalan lancar kerana beliau sudah memahami karakter suara saya. Namun, cabarannya adalah untuk membawa karakter yang ceria dan ‘fun’.
“Saya perlu tampil lebih bertenaga dan ‘playful’, jadi saya turut menjalani latihan vokal secara profesional bagi memastikan penyampaian lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Nuim turut meluahkan rasa syukur dan teruja dapat bekerjasama dengan Irene dalam projek berkenaan.
“Pengalaman menghasilkan lagu ini sangat bermakna buat saya, daripada idea, rakaman hingga pelancaran. Ia bukan sekadar karya, tetapi juga refleksi emosi yang ingin saya sampaikan kepada pendengar.
“Irene seorang yang profesional dan komited. Dia juga banyak memberi idea kreatif yang membantu menaikkan kualiti lagu ini. Saya harap kami dapat bekerjasama lagi pada masa akan datang,” katanya.
Nuim sebelum ini pernah menyertai beberapa program realiti hiburan seperti I Can See Your Voice Malaysia, All Together Now Malaysia, 123 Glamour, Astro Gimme The Mic dan Asean Suara Semua Carnival.
Vibes Hari Raya telah dilancarkan di semua platform digital termasuk Spotify pada 21 Februari lalu, manakala lirik video rasmi terbitan 78 Empire Records turut dimuat naik di YouTube pada tarikh sama.










