Penyanyi dan komposer terkenal, Black Hanifah tampil dengan single terbaharu berjudul ‘Hadirmu Ramadhan’ yang mengangkat tema kerinduan, kesyukuran dan ketenangan jiwa sempena kedatangan bulan mulia itu.
Lagu tersebut lahir daripada rasa rindu dan syukur terhadap kehadiran Ramadan yang disifatkan sebagai ruang untuk manusia kembali mencari ketenangan jiwa, keinsafan diri serta mengeratkan hubungan dengan Tuhan.
Menurut NyawaBlack (Black Hanifah) yang bertindak sebagai komposer, penulis lirik dan penyanyi, karya itu bersifat reflektif dan penuh pengharapan sebagai peringatan tentang makna sebenar Ramadan.
“Lagu ini bersifat reflektif, lembut dan penuh pengharapan, sesuai untuk didengari sebagai satu peringatan halus tentang makna sebenar Ramadan, bukan sekadar sebagai bulan perayaan tetapi bulan muhasabah dan penyucian jiwa,” katanya dalam kenyataan media.
Single berkenaan turut menyaksikan kolaborasi bersama penyanyi popular, Hazama yang menggunakan nama pena Kadok sebagai penulis lirik bersama.
Inspirasi utama ‘Hadirmu Ramadhan’ tercetus daripada suasana malam-malam sunyi Ramadan, doa yang dipenuhi kesyahduan serta pengalaman peribadi Black melihat bagaimana bulan tersebut mampu melembutkan hati manusia.

Proses pembikinan lagu itu bermula dengan melodi yang menenangkan sebelum lirik dibentuk secara berperingkat dan disusun teliti agar mesejnya dapat disampaikan dengan jujur tanpa berlebihan.
Kolaborasi antara Nyawablack dan Kadok pula berlaku secara tidak dirancang selepas demo lagu tersebut diperdengarkan kepada Hazama sehingga tercetus perbincangan santai yang membawa kepada penambahbaikan lirik agar lebih selari dengan emosi dan melodi.
Antara cabaran utama dalam penghasilan lagu itu adalah memastikan mesejnya kekal ikhlas dan tidak klise selain menyampaikan tema Ramadan dengan seimbang tanpa terlalu berat atau terlalu ringan, dengan keseluruhan proses mengambil masa beberapa minggu walaupun idea asal tercetus sejak setahun lalu.
‘Hadirmu Ramadhan’ akan mula distrim di semua platform digital pada 24 Februari 2026 manakala video muzik rasminya boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos pada 20 Februari 2026 jam 3 petang.










