KUALA LUMPUR: Penyanyi, Amira Othman, memohon agar diberikan ruang dan privasi susulan dakwaan bertubi-tubi kononnya beliau berbadan dua.
Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 33, berkata, dia kekal dengan pendirian sama dan akan berkongsi sebarang khabar baik kepada umum apabila tiba masa yang sesuai.
“Selagi belum sampai waktunya, saya mohon sedikit privasi dan ruang. Insya-Allah, kalau ada berita baik saya akan kongsikan.
“Saya juga mohon doa yang baik-baik daripada semua peminat dan pengikut,” katanya.
Amira berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Amber 2026, di sini, hari ini.
Mengulas dakwaan yang tidak putus-putus diterima, pelantun lagu Hati-Hati itu mengakui tidak berasa penat kerana menganggap perkara tersebut sebagai lumrah bergelar figura awam.
“Tak bolehlah nak kata penat sebab ini memang asam garam ‘public figure’. Kadang-kadang soalan yang sama ditanya berulang kali walaupun sudah dijawab.
“Sama seperti ketika siaran langsung di TikTok, soalan yang sama tetap akan muncul. Bagi saya, itu perkara biasa dan jika tidak mahu ditanya soalan sebegini, mungkin kita tidak sesuai berada dalam industri,” jelasnya.
Sebelum ini, timbul spekulasi mendakwa isteri kepada pelakon Fattah Amin itu hamil selepas beberapa video memaparkan kelihatan ‘baby bump’.
Amira turut menyifatkan spekulasi yang bertebaran, termasuk dakwaan dia dimasukkan ke wad serta isu kesihatan yang menyebabkan tidak dapat menemani suami ke Seoul, sebagai perkara biasa yang sering berlaku terhadap selebriti.
Untuk rekod, pasangan terbabit sah bergelar suami isteri pada 14 September tahun lalu, bersempena ulang tahun kelahiran ke-35 Fattah yang dikenali menerusi filem Pendekar Pawang.










