Dewa 19 kembali gegarkan Axiata Arena 6 Jun ini - Utusan Malaysia

Dewa 19 kembali gegarkan Axiata Arena 6 Jun ini

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Selepas hampir tiga tahun meninggalkan pentas Malaysia, kumpulan legenda Indonesia, Dewa 19 bakal kembali mengubat rindu peminat menerusi konsert berskala besar berjudul Dewa 19 Cintaku Tertinggal di Malaysia yang dijadual berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 6 Jun depan.

Kali terakhir kumpulan itu mengadakan persembahan di negara ini adalah pada 29 September 2023 menerusi konsert Dewa 19: A Night At The Orchestra Chapter 5, yang meninggalkan kenangan manis buat para peminat setia.

Kini, kerinduan itu bakal terubat apabila Dewa 19 kembali dengan persembahan yang dijangka lebih istimewa, bukan sekadar menghiburkan, malah sarat dengan elemen cinta yang menjadi identiti muzik mereka.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang berkata, Malaysia mempunyai tempat istimewa di hati anggota Dewa 19 sejak awal pembabitan mereka di sini.

“Selepas kali terakhir beraksi di Kuala Lumpur pada 2023, Dewa 19 sentiasa menyatakan hasrat untuk kembali bertemu peminat di Malaysia.

“Malaysia mempunyai nilai sentimental buat mereka kerana di sinilah mereka berjaya menembusi pasaran dan membina kelompok peminat setia sendiri.

“Justeru, kami sepakat menamakan konsert ini sebagai Dewa 19 Cintaku Tertinggal di Malaysia,” katanya.

Konsert berkenaan bakal menampilkan barisan anggota utama Dewa 19 termasuk Ahmad Dhani, Andra Ramadhan, Yuke Sampurna dan Agung Yudha.

Lebih menarik, tiga vokalis popular mereka iaitu Ari Lasso, Virzha dan Marcello Tahitoe atau Ello turut akan membuat penampilan bersama pemain dram, Tyo Nugros.

Dalam pada itu, konsert berkenaan turut mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya dua kumpulan besar Indonesia, Dewa 19 dan Padi Reborn, akan berkongsi pentas di Malaysia.

Iman berkata, kolaborasi tersebut bukan sahaja menggabungkan dua nama besar, malah menyatukan dua kelompok peminat iaitu Baladewa dan Sobat Padi.

“Ini kali pertama di Malaysia kami menyatukan dua band gergasi Indonesia dalam satu pentas.

“Dewa 19 akan ditemani Padi Reborn sebagai artis jemputan khas, sekali gus menjadikan konsert ini medan pertemuan dua kelompok peminat yang berkongsi rasa cinta yang sama terhadap muzik,” ujarnya.

Menurut beliau, konsep konsert yang dibawakan tidak bersifat terlalu besar-besaran, sebaliknya memberi fokus kepada penghayatan lagu-lagu cinta yang sinonim dengan kedua-dua kumpulan tersebut.

“Axiata Arena akan dipenuhi suasana romantis melalui rangkaian lagu popular Dewa 19 dan Padi Reborn.

“Kedua-dua kumpulan ini sudah mempunyai karisma tersendiri untuk menarik peminat hadir menikmati persembahan yang penuh emosi dan kenangan,” katanya.

Selain itu, penganjur turut menetapkan tema pakaian khusus buat penonton iaitu pemakaian kemeja-T rasmi kumpulan sebagai tanda sokongan terhadap artis kegemaran masing-masing.

Tiket konsert akan mula dijual pada 27 Februari 2026 bermula pukul 11 pagi menerusi laman sesawang rasmi Ticket2U.

Harga tiket ditawarkan dalam beberapa kategori iaitu RM236 (Atas Nama Cinta), RM288 (Bala Sobat), RM388 (Pangeran Cinta), RM428 (Laskar Cinta) dan RM488 (Sedang Ingin Bercinta).

Peminat dinasihatkan mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan menyaksikan pertemuan istimewa dua kumpulan legenda ini di pentas sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN