Bagai mimpi menjadi kenyataan, pelakon Zeera Azizi tidak pernah menyangka dirinya dapat menyambut hari lahirnya yang ke-30 tahun di Old Trafford, Manchester, England, baru-baru ini.
Kata pemilik nama Nurazeera Azizi itu, dia seorang peminat fanatik pasukan bola sepak, Manchester United (MU) sejak usianya 12 tahun.
“Baru-baru ini, saya pergi ke Old Trafford untuk kali kedua. Perasaan teruja itu masih sama seperti kali pertama saya menjejakkan kaki di sana.
“Percutian kali ini saya dapat tengok perlawanan dan berjumpa dengan pemain-pemain pasukan bola sepak Manchester United.
“Tidak dapat gambarkan perasaan gembira itu bagaimana lebih-lebih lagi saya pergi ke sana sewaktu ulang tahun kelahiran saya. Itu memang kenangan paling bermakna dalam hidup saya,” katanya kepada Pancaindera.

Terkenal dengan slogan ‘Glory Glory Man United’, syukur apabila minatnya terhadap pasukan bola sepak tersebut disokong oleh orang tersayang meskipun sedar hobinya itu kebiasaannya dikaitkan dengan kaum lelaki.
“Setakat ini, kawan-kawan dan kenalan saya memang faham akan minat saya ini sejak zaman sekolah lagi. Mereka tidak pernah pelik walaupun saya tidak main bola sepak.
“Saya berasa sangat seronok setiap kali menonton perlawanan bola dan berpendapat ia dapat memanfaatkan masa lapang saya dengan hiburan yang sihat,” katanya lagi.
Pada masa sama, Zeera turut menepis stereotaip sesetengah pihak yang berpendapat sukan bola sepak hanya boleh diminati orang lelaki sahaja.
“Pada saya, selagi minat kita tidak ke arah yang tidak baik, kita teruskan saja. Pedulikan apa yang orang kata sebab pada akhirnya kita mahu lakukan sesuatu perkara yang membahagiakan hidup kita.
“Kita tidak boleh ubah pemikiran orang, tetapi kita boleh ubah cara kita berfikir,” jawabnya.

Sebagai peminat tegar Manchester United, Zeera tidak menafikan dia banyak mengumpul barangan dagangan berkaitan dengan pasukan bola tersebut.
Bahkan, pelakon itu turut mempunyai sebuah bilik tidur yang dihiasi penuh dengan barangan Manchester United termasuklah cadar katil, replika stadium dalam bentuk lego dan banyak lagi.
Ditanya mengenai kesanggupannya untuk melabur demi minatnya, pelakon drama Setelah Terlafaznya Akad itu mengakui tidak pernah berkira wang ringgit untuk membeli barangan yang berkaitan dengan Manchester United.
Namun, dia juga enggan mendedahkan jumlah keseluruhan yang telah dilaburkan sepanjang dirinya meminati pasukan bola sepak tersebut.

“Apabila kita meminati sesuatu perkara, kita tidak boleh berkira sangat. Seperti saya, sejak zaman sekolah lagi saya suka kumpulkan poster bola sepak.
“Duit belanja sekolah itu memang saya habiskan untuk beli majalah bola sahaja. Tetapi bila sudah dewasa, saya memang berhasrat untuk jejakkan kaki ke stadium Manchester United.
“Jadi, saya kumpul duit sedikit demi sedikit sampai cukup dan terus terbang ke sana. Sekiranya ada rezeki lagi, saya mahu ke sana lagi,” kongsinya.










