KUALA LUMPUR – Kumpulan Cherpen tampil berani keluar daripada zon selesa menerusi single terbaharu berentak reggae berjudul ‘Patah Hati’ yang menandakan kolaborasi pertama mereka bersama penyanyi rap, Chubb-E.
Single berkenaan merupakan hasil ciptaan bersama anggota Cherpen iaitu Nemo, Kimie dan Syahir bersama Chubb-E, manakala liriknya ditulis oleh Nemo, Kimie dan Chubb-E.
Menurut vokalis Cherpen, Nemo, kolaborasi tersebut tercetus secara spontan ketika mereka sedang mengolah idea lagu berkenaan.
“Kolaborasi ini bermula bila kami satu band dapat idea semasa mula buat lagu ‘Patah Hati’, pada mulanya kami saja-saja tambah bahagian rap dan dari situ terfikir untuk cari seorang rapper,” katanya.
Lagu ‘Patah Hati’ mengangkat tema kekecewaan dalam percintaan yang dekat dengan realiti kehidupan dan diilhamkan daripada pengalaman peribadi serta pemerhatian anggota kumpulan itu.

“Kalau kita tengok orang sekeliling, kebanyakannya pernah melalui fasa yang sama iaitu bercinta, putus dan akhirnya patah hati,” jelas Nemo.
Beliau berkata, mesej utama lagu berkenaan adalah agar pendengar lebih menghargai insan yang benar-benar ikhlas mencintai mereka.
“Mesej paling penting dalam lagu ini ialah ‘hargailah orang yang ikhlas mencintai’,” katanya.
Dalam pada itu, Chubb-E menyifatkan peluang bekerjasama dengan Cherpen sebagai satu pengalaman bermakna dan menyifatkan proses rakaman lagu tersebut berjalan lancar serta penuh idea.
“Bila Cherpen hubungi saya dan tunjukkan demo lagu ini, saya terus tertarik dengan ‘vibes’ lagu ini dan harap peminat kedua-dua pihak dapat menerima gabungan dua dunia muzik yang berbeza ini,” katanya.
Single ‘Patah Hati’ oleh Cherpen ft Chubb-E yang diterbitkan oleh syarikat rakaman Seventeen Eleven Music kini berada di dalam senarai main stesen-stesen radio utama dan boleh distrim di semua platform penstriman muzik utama.
Video muzik rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube ‘Seventeen Eleven Music’.










