Pelakon, Zara Zya, mendedahkan bahawa gangguan entiti yang dialaminya sejak lebih sedekad lalu pernah memberi kesan besar terhadap kehidupan peribadi, kesihatan mental serta kerjayanya dalam industri hiburan.
Ujian yang dilalui secara senyap itu bukan sahaja mengganggu emosi, malah ada ketika menjejaskan rutin harian dan fokusnya sebagai seorang pelakon.
Menurut Zara, pengalaman tersebut sering disalah tafsir oleh segelintir pihak yang menganggap dirinya sekadar mahu meraih perhatian.
Hakikatnya, ujar pelakon itu, gangguan berkenaan adalah realiti yang terpaksa dihadapi dalam diam dan hanya benar-benar difahami oleh individu yang pernah melalui perkara sama.
“Orang selalu kata kita ni saja nak perhatian dan macam-macam lagi. Tapi sebenarnya, kalau orang yang mengalami sendiri, dia akan tahulah. Perasaan itu sangat berbeza. Ada masa kita rasa takut bukan sebab kita lemah, tapi sebab benda itu memang wujud.
“Dia macam tahu kita sedar kewujudannya. Dia tahu kita tahu, dan itu yang buatkan saya jadi lebih berhati-hati untuk bercakap atau berkongsi,” katanya.
Zara mendedahkan gangguan tersebut telah dialaminya lebih 10 tahun, dengan fasa paling mencabar berlaku beberapa tahun lalu apabila keadaan menjadi semakin ketara dan jelas dirasai.
Pada ketika itu, kehidupan hariannya bukan sahaja terganggu, malah ruang peribadi turut menjadi semakin sempit.
“Dulu keadaan memang lagi teruk. Sampai kedai kegemaran pun saya tak boleh pergi. Perkara biasa yang orang lain boleh buat, bagi saya jadi sesuatu yang menakutkan.
“Kita jadi terlalu berjaga-jaga dalam setiap pergerakan. Kehidupan seharian memang terjejas dan orang mungkin tak nampak dari luar, tapi kita yang lalui, kita yang rasa,” ujarnya.
Gangguan tersebut, jelas Zara, bukan sekadar hadir dalam bentuk ketakutan, sebaliknya memberi kesan besar terhadap kesihatan mentalnya. Fokus menjadi mudah terganggu, pemikiran bercelaru dan ketenangan diri sukar dicapai, termasuk ketika menjalani tanggungjawab sebagai pelakon yang menuntut konsentrasi tinggi.
“Dari segi mental, ia memang sangat mengganggu. Pemikiran jadi kusut. Nak fokus susah, nak menghafal pun dia kacau.
“Saya tak pernah nak atau suka benda ni. Ia bukan sesuatu yang boleh dibanggakan, malah sangat menyusahkan dan sangat tidak baik untuk kehidupan,” katanya jujur.
Zara turut menjelaskan gangguan tersebut sering hadir ketika emosinya berada pada tahap ekstrem. Sama ada terlalu gembira, terlalu sedih, terlalu marah atau terlalu teruja, semuanya menjadi ‘ruang’ kepada gangguan untuk muncul dengan lebih kuat.
Menyedari keadaan yang dialami, Zara tidak mengambil mudah soal rawatan. Dia mendapatkan bantuan profesional dengan berjumpa doktor dan pakar psikiatri, selain mengambil ubat seperti yang disarankan.
Namun begitu, pelakon itu percaya setiap kesembuhan adalah bergantung sepenuhnya kepada izin Allah.
“Kalau kita sakit luka pun kita akan pergi klinik. Apatah lagi benda macam ni. Sudah tentu saya dah berusaha, dah jumpa doktor, dah ambil ubat. Semua itu saya buat.
“Tapi mungkin Allah belum izinkan untuk saya sembuh sepenuhnya. Sekarang Alhamdulillah keadaan semakin baik, cuma ada masa datang dan pergi,” katanya.
Dalam menghadapi ujian tersebut, Zara menjadikan zikir sebagai pegangan utama dan sumber kekuatan. Amalan itu, katanya, banyak membantu menenangkan hati dan mengawal emosi, terutama ketika bersendirian atau ketika gangguan dirasakan semakin kuat.
“Bila kita sihat, kita macam orang lain juga, dengar lagu dan buat aktiviti biasa. Tapi bila keadaan tak sihat, dalam kereta pun saya zikir saja. Itu yang betul-betul tenangkan. Zikir ni sebenarnya untuk semua, sebab bila kita terlalu leka atau terlalu ikut emosi, gangguan itu akan datang.
“Bagaimanapun, saya melihat apa yang dialami ini sebagai satu ujian daripada Allah yang mendidik saya untuk menjadi insan yang lebih sedar, lebih berhati-hati dan lebih mendekatkan diri kepadaNya.
“Mungkin dulu kita tak berapa nak ingat Dia. Sekarang ni, walaupun tak banyak, kita ingatlah. Ini ujian Allah untuk kuatkan kita. Alhamdulillah, Allah bagi saya semangat. Saya tak tunduk, saya tak rebah dengan ujian ni,” katanya.










