Teruk dikecam kerana abang, Syed Iqbal mohon maaf - Utusan Malaysia

Teruk dikecam kerana abang, Syed Iqbal mohon maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Syed Iqbal tampil membuat permohonan maaf secara terbuka selepas teruk dihentam netizen gara-gara memuat naik hantaran seolah mempertahankan abangnya, Da’i Syed yang disabitkan hukuman penjara selama 10 tahun serta tiga sebatan atas kesalahan merogol seorang wanita lima tahun lalu.

Menurut Iqbal, nukilan khas yang ditujukan buat abangnya sebelum ini sekadar perkongsian peribadi pandangannya terhadap perubahan besar sikap pendakwah selebriti tersebut.

Malah, pemilik lagu Basstamam itu juga menafikan bahawa dirinya menyebelahi tindakan tidak bermoral Da’i Syed yang telah dijatuhkan hukuman di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Jumaat lalu.

“Saya ingin memohon maaf secara terbuka atas
hantaran saya sebelum ini. Saya sedar tulisan tersebut telah menimbulkan kemarahan, salah faham, dan melukakan perasaan banyak pihak.

“Itu bukan niat saya. Saya menulis dalam keadaan emosi sebagai seorang ahli keluarga yang sedang berdepan ujian besar.

“Saya ingin jelaskan dengan tegas bahawa saya tidak menyebelahi, tidak mempertahankan, dan tidak meremehkan sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang atau tidak bermoral,” katanya dalam hantaran di Instagram Story.

Sedar tindakannya tempoh hari menuai pelbagai respons negatif, Iqbal juga mengakui kesal memuat naik hantar sedemikian.

“Hantaran tersebut hanya berkisar tentang apa yang saya lihat dari sudut peribadi dan proses muhasabah diri, bukan untuk membenarkan apa-apa perbuatan, dan bukan untuk menafikan kesakitan mana-mana pihak.

“Saya mengambil tanggungjawab penuh bahawa perkongsian itu tidak wajar dibuat di ruang awam, dan saya benar-benar menyesal atasnya,” katanya.

Pun begitu, adik kepada pendakwah selebriti, Da’i Syed itu turut memohon agar orang ramai berhenti membuat serangan mahupun ugutan terhadap keluarga dan kenalan rapatnya.

“Saya juga merayu agar hentikan serangan, ugutan, dan penyebaran terhadap diri saya, orang terdekat, rakan-rakan, dan keluarga kami. Mereka tidak terlibat dalam apa yang berlaku dan tidak wajar menanggung kebencian ini.

“Buat masa ini, saya memilih untuk berdiam diri dan menyerahkan segala urusan kepada saluran yang sepatutnya. Terima kasih kepada semua yang masih menjaga adab dan kemanusiaan,” tegasnya.

Terdahulu,Syed Iqbal mendedahkan perubahan ketara dalam karakter abangnya selepas peristiwa yang berlaku pada Ogos 2024.

Menerusi hantaran di Instagram, Iqbal Jamalulleil atau lebih dikenali sebagai Syed Iqbal berkongsi pandangan peribadinya terhadap sikap pendakwah selebriti itu yang disifatkan semakin mendekatkan diri kepada Allah SWT, selain lebih bertanggungjawab dalam peranan sebagai anak, abang, bapa dan suami.

Untuk info, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan terhadap Da’i Syed atas kesalahan merogol seorang wanita lima tahun lalu, pada Jumaat lalu.

Pada 10 Disember 2020, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, pada awal pagi 11 September 2019.

Kemudian, Mahkamah Sesyen mensabitkan kesalahan dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan, pada 30 Ogos 2024.

Bagaimanapun, pada 20 September 2024, tertuduh dibenarkan keluar sementara dengan jaminan sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi selesai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN