Slot Perdana TV AlHijrah tampilkan program dakwah interaktif - Utusan Malaysia

Slot Perdana TV AlHijrah tampilkan program dakwah interaktif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TV AlHijrah memperkenalkan barisan program baharu Slot Perdana 9 Malam 2026 yang mula bersiaran Januari ini, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai stesen penyiaran dakwah utama negara.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, penjenamaan semula slot berkenaan menampilkan pendekatan dakwah yang lebih interaktif, relevan dan dekat dengan realiti masyarakat.

Jelasnya pendekatan terbaharu ini turut memberi penekanan kepada elemen interaksi dua hala, bagi memastikan penonton bukan sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya terlibat secara aktif dalam proses pembelajaran dan perbincangan.

“Bagi TV AlHijrah, dakwah tidak boleh bersifat statik. Ia perlu hidup, bergerak dan berinteraksi dengan realiti masyarakat. Slot 9 malam 2026 dibina dengan roh tersebut, menampilkan ilmu yang sahih, dialog yang jujur serta pendekatan yang dekat dengan kehidupan sebenar.

“Kami mahu penonton rasa mereka didengari, difahami dan dibimbing. Inilah teras dakwah TV AlHijrah menyampaikan Islam dengan hikmah, empati dan kefahaman yang membumi,” jelasnya.

Sementara itu antara program yang akan disiarkan bermula Januari ini adalah, Mai Mengaji (Isnin), Dakwah Live (Selasa), Analisis (Rabu) serta program baharu Dari Hati Wanita (Khamis).

Selain mengetengahkan pengisian ilmu, program- program ini juga bakal menjadi lapangan dialog terbuka yang akan membincangkan isu semasa berpandukan nilai Islam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN