PETALING JAYA: Pelakon, Harris Annuar tampil meleraikan salah faham dalam kalangan warganet yang mendakwa dirinya memberikan sokongan terhadap pendakwah selebriti, Da’i Syed yang dijatuhkan hukuman penjara kerana merogol seorang wanita lima tahun lalu.
Menurut Harris, niatnya hanya sekadar mendoakan kebaikan terhadap keluarga pendakwah tersebut selain menegaskan dia bersetuju dengan keputusan yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah terhadap pesalah.
“Saya doakan tak bermaksud saya di pihak dia,memang saya setuju dia dihukum, tapi tidak salahkan untuk mendoakan kebaikan orang?
“Boleh saya tahu apa yang salahnya untuk saya mendoakan keluarganya?,” katanya membalas komen seorang netizen di Threads.
Dalam masa sama, Harris turut menjelaskan bahawa titipan doa tersebut ditinggalkan di ruangan komen perkongsian adik kepada pendakwah tersebut yang juga merupakan sahabatnya, Syed Iqbal.
Harris bagaimanapun kesal dengan tindakan lantang sesetengah netizen yang mengecamnya tanpa usul periksa bahkan menganggap perkara itu sebagai fitnah.
“Dan yang saya comment ni bukan dekat akaun Da’i Syed, “ya Allah permudahkan urusan sahabatku di sana” saya komen dekat akaun adik dia.
“Jadi yang saya mendoakan adalah adik dia supaya permudahkan urusan dia, bukan dekat akaun Da’i. Bila awak dah mesej macam ini kira awak dah buruk sangka dan fitnah saya,” ujarnya.
Harris berkata demikian selepas menyedari perkongsian seorang individu yang menghentam keras responsnya dan beberapa rakan selebriti yang didakwa menyokong kesalahan yang dilakukan oleh Da’i Syed.
“Da’i Fuad Mokhtar, Fendy Bakry dan Harris Annuar, esok lusa kenalan atau keluarga kau orang kena, jangan marah tau. Semoga si perogol dipermudahkan urusan kan?
“Penggalak. Penggalak perogol memalukan. Sekurang-kurangnya Si Harris ini ada cakap pasal diampuni bermakna dia mengaku perogol itu merogol,” kata pemilik akaun tersebut.
Pada Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan terhadap Da’i Syed atas kesalahan merogol seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah kondominium di I-City Shah Alam, pada 11 September 2019.










