Selepas hampir tiga tahun melalui episod peribadi yang menguji kekuatan mental dan emosi, vokalis kumpulan OAG, Radhi, kini memilih untuk memandang ke hadapan meskipun mengakui dirinya masih dalam proses ‘menjahit luka’ yang pernah mengguris jiwanya.
Terpalit dengan dakwaan memukul bekas isterinya sehingga mengheretnya ke mahkamah, Radhi mengakui tempoh tersebut menjadi antara fasa paling gelap dalam hidupnya.
Bagaimanapun, dia memilih untuk tidak terus terperangkap dalam kemelut itu, sebaliknya berusaha membina semula kehidupannya secara perlahan dan berhemah.
“Saya anggap semua yang berlaku ini sebagai satu ujian daripada Allah untuk mendidik saya. Luka itu memang ada, tidak mungkin hilang serta-merta. Tapi sekarang saya sedang menjahitnya perlahan-lahan.
“Saya tidak mahu lagi hidup dalam kemarahan, tekanan dan dendam kerana semua itu hanya memenatkan jiwa,” katanya.
Radhi tidak menafikan bahawa proses perbicaraan yang berlarutan hampir tiga tahun memberi kesan besar terhadap kestabilan emosinya.
Katanya, sepanjang tempoh itu,dia sering berasa seolah-olah sudah ‘dihukum’ walaupun belum terbukti bersalah.
“Ada masa saya rasa seperti orang yang sudah dijatuhkan hukuman, walaupun belum ada keputusan. Ia memenatkan. Macam didakwa pembunuh. Tapi bagi saya relaks sajalah, sebab saya tak bersalah. Tiga tahun turun naik mahkamah, boleh gila. Tapi fikir-fikir balik, ini ujian.
“Ini cara Allah untuk ingatkan kita ada lah itu buat salah. Tapi kalau kita tak bersalah dalam hal itu, buat-buat tenang sahajalah. Jadi, Alhamdulillah saya menang dan bersyukur,”ujarnya.
Keputusan mahkamah yang memihak kepadanya disambut dengan penuh kesyukuran, namun Radhi memilih untuk tidak mengambil sebarang tindakan balas terhadap bekas isterinya walaupun berpeluang berbuat demikian.
“Saya boleh saja saman, minta maaf terbuka, ambil tindakan fitnah dan macam-macam. Tetapi saya fikir, sampai bila nak habis? Kalau saya sambung, ia akan jadi cerita yang tidak berkesudahan. Saya mahu hidup saya kembali tenang,” katanya.
Masih Aktif dalam dunia seni
Menjawab dakwaan bahawa dia sudah menyepi daripada dunia seni, Radhi menegaskan dirinya masih aktif menerima undangan persembahan, cuma lebih selesa bergerak dalam lingkungan tertutup dan tidak terlalu menonjolkan diri di media.
“Alhamdulillah, saya masih ada undangan. Dalam sebulan ada dua hingga empat persembahan. Cuma kebanyakannya ‘dinner show’, majlis korporat dan acara tertutup. Bukan yang keluar televisyen. Tapi itu sudah mencukupi untuk menampung kehidupan saya,” katanya.
Selain itu, Radhi juga mengakui lebih selesa bergerak secara ‘senyap’ kerana mahu memberi ruang kepada diri sendiri untuk pulih daripada tekanan emosi yang pernah dialaminya.
“Saya sekarang lebih suka tenang. Tak mahu sensasi. Tak mahu drama. Saya mahu fokus kepada diri saya dan keluarga,” ujarnya.
Radhi juga berkata, keputusan untuk tidak memanjangkan konflik dengan bekas isteri dibuat demi memastikan anak-anaknya tidak terus terheret dalam kemelut orang dewasa.
“Anak-anak saya sudah besar dan mereka sudah faham dunia ini penuh gosip dan cerita macam-macam. Tapi saya tidak mahu mereka membesar dengan emosi yang terganggu kerana isu lama yang tidak habis-habis,” katanya.
Menurut Radhi,anak sulungnya kini sudah berusia 20 tahun dan sedang melanjutkan pengajian dalam bidang fotografi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu, Melaka, manakala anak keduanya kini telah berusia 11 tahun.
Dalam perkembangan lain, Radhi memaklumkan, dia kini sedang menyiapkan demo album terbaharu sebagai usaha untuk kembali aktif secara lebih tersusun dalam dunia seni. Namun, kali ini, Radhi mengakui tidak lagi mahu mengejar populariti semata-mata.
“Saya mahu bina semula hidup saya perlahan-lahan. Saya tidak kejar sensasi. Saya mahu kejar ketenangan. Kalau ada rezeki dalam muzik, Alhamdulillah. Kalau tidak, saya tetap bersyukur,” katanya.










