BERBAKI tujuh hari lagi, penantian peminat untuk menyaksikan Konsert Pentas Barbarik Volume 2, bakal ternoktah.
Berlainan dengan Pentas Barbarik Volume 1, konsert kali ini yang dipentaskan di Mega Star Arena, Plaza Sungai Wang akan mencipta satu lagi sejarah dalam arena muzik Rock tanah air.
Penampilan nama-nama besar bertaraf original gangster rock kapak negara, seperti Jo Branko, Black Eddy, Mel, Jojet, Muss dan ramai lagi, bersatu pentas menjadi antara perkara yang ditunggu-tunggu peminat.
Jo atau nama sebenarnya, Abdul Zamin Abdul Kadir, 56, bagaimana pun enggan menjadikan Pentas Barbarik Volume 2 sekadar menjual nama rockers bertaraf legenda untuk menarik penonton.
Katanya, apa yang dijanjikan adalah sebuah persembahan bermutu tinggi, berlainan dan setimpal dengan wang pembeli tiket.
“Bukan senang untuk puaskan hati peminat. Ada permintaan mereka yang sampai tahap, tidak masuk akal. Tapi artis kena sedar, peminat sanggup bayar mahal untuk tengok satu-satu persembahan.
“Saya ambil berat soal ini. Sebab itu, saya mahu berikan persembahan yang berbaloi dengan wang peminat belanjakan untuk menonton konsert kami. Harga tiket konsert zaman sekarang bukan macam dulu, serendah RM10 pun ada. Sekarang tiket mahal sebab banyak faktor. Sewa dewan, perkakasan, tenaga kerja, kepakaran, sistem bunyi, semua ada harga dan ia tidak murah.
“Jadi sebagai artis, kami kena berikan persembahan yang berlainan, yang lebih kreatif, yang ada pengisian berbeza. Barulah peminat semangat nak hadir konsert. Jangan buat ala kadar, tahap jamming dalam studio,” katanya.
Mengulas mengenai konsep persembahan, Jo memaklumkan dia mahukan penonton yang hadir nanti melihat persembahan mereka seperti menonton filem.
“Kami sajikan persembahan yang bukan tipikal, bukan persembahan yang biasa mereka tengok sebelum ini. Di situ mencabar daya kreativiti kami sebagai artis.
“Persembahan kali ini seratus peratus kami tukar, berbeza dengan konsert Barbarik volume 1 tahun lepas. Dan kemungkinan durasi konsert ini boleh sampai tiga jam.
“Saya ambil kesempatan sempena konsert ini untuk puaskan hati peminat lebih-lebih lagi yang sudah menyokong kami selama 40 tahun. Sebab itu, kita tampilkan Eddy, Black, Jojet, Mel dan ramai lagi.
“Penonton akan saksikan di atas pentas nanti satu penceritaan, bukan sekadar konsert biasa,” ujarnya lagi.
Jo dalam masa sama meluahkan rasa syukur dengan perkembangan jualan tiket konsert berkenaan yang katanya, lancar dan positif.
“Setakat ini tiket untuk Rock Zone telah habis dijual. Jualan bagi kategori yang lain masih berjalan. Saya lega dengan perkembangan jualan (tiket). Diharapkan jualan akan terus rancak menjelang konsert ini nanti,” jelasnya.

SIMBOLIK EMPAT DEKAD
Konsert Pentas Barbarik bukan sekadar sebuah persembahan istimewa untuk peminat tetapi juga simbolik kepada perjuangan muzik empat dekad Jo dalam pentas rock tempatan.
Untuk sampai ke titik ini, tetap sebagai gitaris yang masih mengekalkan ‘taring’ pada usia 56 tahun, bukan satu perkara yang mudah kerana perjalanan yang dilalui cukup panjang.
Yang dikecapi anak jati Johor ini pada hari ini adalah bayaran kepada keringat, pengorbanan dan minat yang ditanam sejak usia lapan tahun lagi.
Hari ini, Jo dipandang sebagai inspirasi kepada ramai gitaris baru.
“Sejak usia lapan tahun saya bercita-cita untuk menjadi bintang rock, pertama kali memegang gitar pada umur 13 tahun. Bertitik tolak itu minat saya berkembang.
“Jo yang sekarang adalah remaja belasan tahun dahulu yang bermain gitar untuk band sekolah, band kampung dan membuat persembahan di majlis perkahwinan dengan menerima bayaran dalam bentuk makan percuma.
“Sayalah remaja yang banyak duduk di rumah, menghabiskan masa melatih diri bermain gitar sampai digelar anti sosial,” katanya.
Jo membuat keputusan yang penting, apabila pada 1986, beliau berpindah dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur untuk mencuba nasib dalam satu sesi uji bakat mencari pemain gitar kumpulan Black & White.
Bakatnya membuka mata pengurus kumpulan itu dan vokalisnya, Allahyarham Sheqal yang dalam sesi tersebut menolak ramai pemain gitar berbakat manakala Jo pula diterima menganggotai Black & White.
“Selama enam bulan bersama Black & White, kami tidak ada membuat persembahan, sekadar berlatih di studio Do Re Mi. Pada masa sama, selama tempoh itu saya bekerja di kedai menghasilkan aksesori kulit.
Antara pelanggan kami, Man Kidal dan beberapa band rock lain.
“Ketika itu saya tidak nampak arah tuju bersama Black & White justeru mengambil keputusan keluar kumpulan itu dan bermain muzik di kelab malam.
“Ketika itu saya berkenalan dengan ramai pemuzik lain, antaranya Black, Opie, Jojet dan ramai lagi. Dan tidak lama selepas itu saya ditawarkan menyertai kumpulan Skandal sebelum menerima pula tawaran menyertai Wings pada 1988. Jo meninggalkan Wings pada 2016, dan hari ini memimpin kumpulan yang dinamakan Barbarik,” ceritanya.

KEKAL PRODUKTIF
“Artis tidak boleh selesa dengan karya lama, ia tidak bagus untuk perkembangan industri muzik.
Itu saranan Jo kepada artis lama yang terus berharap dengan lagu-lagu lama untuk kekal relevan di mata peminat.
Menurut Jo, selagi seseorang artis itu aktif dalam dunia muzik, selagi itu mereka harus berkarya dan berkreativiti supaya tidak berada di takuk lama.
“Kita kena tunjukkan yang kita ini serius dengan menghasilkan lagu dan album. Orang beli atau tidak, itu belakang cerita. Hasilnya kita akan dapat kelak. Yang penting kita kena terus berkarya.
“Saya tidak bersetuju dengan mereka yang mengatakan muzik rock di Malaysia ini pernah sampai kemuncak dan sekarang sudah mati. Muzik rock tak mati, cuma band lama yang sudah tak hasilkan album.
“Kalau sekadar menghasilkan single, itu pun sudah memadai. Sekurang-kurangnya kita ada material baru. Asalkan kita produktif. Saya sejak dulu suka hasilkan album. Saya sudah hasilkan 30 album sepanjang bergelar pemuzik. Kita kena berterusan hasilkan sesuatu yang baru, jangan selesa dengan lagu-lagu lama,” ujarnya.










