Iran akan bedil kapal lalui Selat Hormuz

Iran akan bedil kapal lalui Selat Hormuz

SEBUAH kapal pengangkut pukal Thailand yang melalui Selat Hormuz telah diserang pada 11 Mac lalu.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Iran akan membedil setiap kapal yang melalui Selat Hormuz selain menutup selat itu yang mengendalikan kira-kira satu perlima perdagangan minyak dunia.

Pemimpin Tertinggi Iran, Moj­taba Khamenei berkata, tindakan itu sebagai tekanan terhadap Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang terus melancarkan serangan terhadap wilayah Iran.

Khamenei berkata, semua pangkalan tentera AS di Asia Barat perlu ditutup serta-merta dan pangkalan-pangkalan itu akan diserang oleh negaranya dalam peperangan yang dimulakan pada 28 Februari lalu.

“Saya memberi jaminan kepada semua bahawa kami tidak akan mengabaikan pembalasan terhadap darah para syuhada.

“Rakyat menuntut supaya kami meneruskan pertahanan yang berkesan dan membuatkan musuh menyesal. Tekanan melalui penutupan Selat Hormuz mesti terus digunakan.

“Kami akan menuntut pampasan daripada musuh dan jika mereka enggan, kami akan mengambil sebanyak harta mereka yang kami anggap wajar dan jika itu tidak boleh dilakukan kami akan memusnahkan jumlah harta yang setara,” kata Khamenei dalam kenyataan yang dibacakan oleh pembaca berita di televisyen kerajaan.

Ini merupakan kenyataan awam pertama Khamenei sejak dilantik sebagai pemimpin tertinggi Iran pada 9 Mac lalu oleh Majlis Pakar selepas pembunuhan bapanya, Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan udara AS dan Israel yang bermula pada penghujung Februari.

Pemimpin baharu itu turut cedera dalam serangan ke atas kompleks bapanya yang turut meragut nyawa isteri dan seorang anak lelakinya manakala ibunya juga dilaporkan terbunuh dalam serangan itu.

Menurut laporan agensi berita Reuters, seorang pegawai Iran yang tidak dinamakan berkata, Khamenei juga dilaporkan cedera ringan.

Kenyataan Khamenei itu juga membawa maksud kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz akan diserang menerusi projektil seperti yang berlaku ke atas sebuah kapal kargo besar Thailand yang sedang belayar di selat itu pada Rabu lalu dengan 20 anak kapal berjaya diselamatkan.

Dalam kejadian itu, asap hitam tebal menjulang dari badan kapal dengan rakit keselamatan terapung di permukaan laut.

Penghantaran minyak melalui Selat Hormuz telah berhenti sepenuhnya sejak perang bermula menyebabkan harga bahan komoditi dunia itu meningkat mendadak.

Iran memberi amaran pada Rabu lalu bahawa harga minyak per tong boleh mencecah AS$200 (RM787).

Sementara itu, Khamenei juga memuji pukulan hebat yang diberikan tentera Iran dalam beberapa hari kebelakangan ini namun menegaskan bahawa tahap serangan balas semasa hanyalah sebagai satu permulaan.

Beliau turut mengesahkan bahawa sekatan terhadap Selat Hormuz akan kekal sebagai alat strategi utama dan mendedahkan bahawa rancangan telah dimuktamadkan untuk membuka medan konflik baharu yang tidak dijangka terhadap musuh.

Sebahagian daripada mesejnya ditujukan kepada pemimpin negara di rantau Asia Barat khususnya di kawasan Teluk Parsi.

Beliau menyatakan bahawa walaupun Republik Islam itu mahu mengekalkan hubungan baik dengan 15 negara jirannya namun tidak akan teragak-agak untuk menyerang pangkalan yang digunakan dalam serangan terhadap Iran.

“Pembalasan ini bukan sahaja berkaitan dengan kesyahidan Pemimpin Besar Revolusi (bapanya) malah setiap anggota bangsa yang gugur akibat musuh merupakan kes tersendiri dalam fail pembalasan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN