Di sebalik wajah manis dan penampilan yang menawan, tersimpan kisah perjuangannya sebagai seorang atlet yang sanggup berkorban masa, tenaga dan emosi demi mengejar impian sejak kecil.
Perjalanan Nur Hazirah Ramli dalam dunia boling sebenarnya bermula sejak dia berusia sekitar sembilan tahun.
Katanya, pada peringkat awal, sukan tersebut hanyalah aktiviti yang menyeronokkan dan sekadar dilakukan untuk mengisi masa lapang.
“Namun minat saya pada ketika itu berubah menjadi lebih serius apabila mula menyertai pertandingan di peringkat sekolah.
“Pada usia 12 tahun, memang tidak disangka saya mampu mencipta detik penting dalam hidupnya apabila berjaya menjuarai satu kejohanan boling,” ujarnya.
Kemenangan itu menjadi titik perubahan yang membuka matanya mengenai boling bukanlah sekadar hobi biasa.
Katanya, perasaan gembira ketika berdiri sebagai juara membuatkan dia semakin bersemangat untuk terus memperbaiki kemahiran dan meningkatkan prestasinya.
Sejak saat itu, Hazirah mula memasang impian untuk melangkah lebih jauh dalam sukan yang semakin dekat di hatinya itu.
Latihan yang membentuk seorang atlet
Menurut perkongsianya, selepas kejayaan awal tersebut, jurulatih mula melihat potensi yang ada pada diri Hazirah. Dia kemudiannya diberikan peluang untuk menyertai lebih banyak kejohanan dan menjalani latihan secara lebih sistematik.

Sejak itu, kehidupan Hazirah berubah sepenuhnya. Dia mula memberi komitmen tinggi terhadap latihan dan pertandingan.
Sebagai seorang atlet elit, Hazirah menjalani latihan kira-kira lima kali seminggu. Jadual latihan yang padat memerlukan dia menumpukan sepenuh perhatian terhadap sukan tersebut.
Bagi kebanyakan anak muda seusianya, masa lapang biasanya diisi dengan aktiviti bersama rakan-rakan atau keluarga. Namun bagi dirinya, sebahagian besar waktu dihabiskan di pusat latihan dan gelanggang boling.
“Walaupun kehidupan sebagai atlet memerlukan banyak pengorbanan, saya memahami bahawa disiplin dan kesungguhan adalah kunci utama untuk mencapai kejayaan,” katanya.
Pengorbanan yang ramai tidak tahu
Ramai masyarakat yang hanya melihat kejayaan seorang atlet ketika mereka berdiri di podium menerima pingat ataupun trofi. Namun, tidak ramai yang benar-benar memahami perjalanan panjang di sebalik kejayaan tersebut.
Hazirah sendiri mengakui bahawa kehidupan sebagai atlet tidak selalu mudah. Waktu untuk berseronok dan meluangkan masa bersama keluarga atau rakan-rakan menjadi sangat terhad.
“Walaupun, masih ada masa untuk berehat pada hujung minggu, tempoh tersebut sering kali singkat dan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Namun, semua pengorbanan dilakukan dengan penuh kesedaran kerana saya tahu setiap usaha yang diberikan hari ini akan membawa kepada kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.
Cabaran sebagai atlet wanita
Dalam dunia sukan yang sangat kompetitif, dia berdepan pelbagai cabaran sebagai seorang atlet wanita.Selain tekanan untuk mengekalkan prestasi, beliau juga pernah berdepan situasi yang kurang menyenangkan.
“Walaupun, saya merupakan seorang atlet tetapi turut menerima gangguan daripada individu yang tidak dikenali ketika menyertai kejohanan. Pada ketika itu, saya masih muda dan situasi tersebut sedikit sebanyak memberi kesan kepada emosinya.
“Namun dengan bantuan jurulatih yang sentiasa memantau keadaan, masalah tersebut berjaya diselesaikan dengan baik,” katanya.
Pengalaman tersebut menjadikan dia lebih berhati-hati dan matang dalam mengendalikan situasi yang tidak dijangka.
Baginya, cabaran seperti itu tidak seharusnya melemahkan semangat seorang atlet wanita. Sebaliknya, ia perlu dijadikan kekuatan untuk membuktikan bahawa wanita juga mampu berjaya dalam dunia sukan.
Tekanan membawa nama negara
Sebagai atlet yang bukan sahaja mewakili negeri, malah juga negara, tekanan untuk memberikan yang terbaik sentiasa wujud. Hazirah mengakui bahawa setiap kali menyertai kejohanan besar, rasa gugup dan tekanan pasti akan dirasai.
Namun dia belajar untuk mengawal emosi dengan memberi fokus sepenuhnya kepada proses latihan dan strategi permainan.
Menurutnya, apabila seorang atlet benar-benar menikmati permainan, tekanan tersebut akan berubah menjadi motivasi yang mendorong mereka untuk memberikan prestasi terbaik.
Dalam sukan, kemenangan dan kekalahan adalah perkara biasa. Hazirah juga pernah merasai kekecewaan apabila gagal mencapai sasaran dalam beberapa kejohanan penting.
Katanya, sebaliknya, setiap kekalahan dijadikan peluang untuk belajar dan memperbaiki kelemahan diri.
Sokongan yang menjadi kekuatan
Di sebalik perjalanan kerjayanya sebagai atlet, Hazirah berkata, sokongan daripada keluarga merupakan antara faktor terpenting dalam kejayaannya. Ibu bapanya sentiasa menjadi sumber kekuatan yang memberi dorongan dan doa tanpa henti.

“Walaupun, ahli keluarga saya berada jauh di Sarawak, sokongan yang diberikan sentiasa membuatkan diri ini berasa tidak bersendirian dalam perjuangan.
“Malah, jurulatih, rakan sepasukan dan sahabat juga memainkan peranan besar dalam membantu saya menghadapi pelbagai cabaran sepanjang karier ini,” ujarnya.
Katanya, hubungan rapat antara rakan sepasukan menjadikan mereka seperti sebuah keluarga besar yang saling menyokong antara satu sama lain.
Inspirasi kepada generasi muda
Hazirah juga berharap kisah perjalanannya dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda, khususnya gadis yang berminat untuk menceburi bidang sukan.
Dia percaya ramai anak muda sebenarnya memiliki bakat dan potensi yang besar, namun kadangkala rasa takut dan kurang yakin menghalang mereka daripada mencuba.
Menurut Hazirah, seseorang tidak perlu menunggu sehingga benar-benar bersedia untuk memulakan sesuatu.
“Sebaliknya, langkah pertama perlu diambil walaupun dengan keyakinan yang kecil, kerana keberanian itulah yang akan membuka jalan kepada kejayaan.
“Kegagalan bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti.Sebaliknya, kegagalan adalah pengalaman yang membantu seseorang menjadi lebih kuat, matang dan bersedia menghadapi cabaran lebih besar,”katanya.
Impian menawan pentas dunia
Bagi Hazirah, masih banyak sasaran yang ingin dicapai dan impian yang ingin direalisasikan pada masa hadapan.
Antaranya, ialah untuk beraksi di kejohanan dunia serta mencipta kejayaan dalam pertandingan boling pada peringkat tertinggi di arena antarabangsa.
Katanya, peluang untuk bersaing dengan atlet terbaik dunia merupakan satu pengalaman yang amat diimpikan oleh dirinya sejak kecil lagi.

Selain itu, dia juga menyimpan hasrat besar untuk menjuarai kejohanan profesional wanita yang dianggap sebagai antara pentas paling berprestij dalam dunia boling.
Kejohanan tersebut bukan sahaja menghimpunkan pemain-pemain hebat dari seluruh dunia, malah menjadi medan untuk membuktikan kemampuan sebenar seseorang atlet pada tahap tertinggi.
Walaupun dia pernah hampir mencapai peluang tersebut sebelum ini, Hazirah menganggap pengalaman itu sebagai satu pengajaran yang amat berharga.
Ia menjadi motivasi untuk dirinya terus bekerja lebih keras, memperbaiki kelemahan dan meningkatkan tahap permainan dari semasa ke semasa.










