Penyanyi kelab malam ada kelebihan besar bertanding di program realiti - Utusan Malaysia

Penyanyi kelab malam ada kelebihan besar bertanding di program realiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SAYA beritahu kamu apa yang orang lain tidak nampak,” 

Demikian kata meastro muzik, Datuk Ramli MS berjaya memancing perhatian pihak media mengenai pandangannya tentang bakat-bakat baharu yang lahir daripada program realiti masa kini. 

Ujar Ramli atau Ramli Mohd Salleh, 66, sepanjang menjadi juri program realiti popular, beliau mengakui ada kelebihan yang dimiliki oleh peserta yang mempunyai pengalaman bernyanyi di kelab malam.

Menurut Ramli yang mesra disapa Tok Ram, merekabiasanya memiliki kualiti yang berbeza, terutama dari segi penguasaan repertoar lagu yang sangat luas.

“Satu benda yang orang tak nampak, bekas-bekas juara Gegar Vaganza ini sebenarnya kebanyakannya adalah penyanyi kelab malam. 

“Bila menyanyi di kelab malam, mereka kena belajar banyak lagu, mungkin mencecah 300 ke 400 lagu.

“Jadi, apabila mereka diberi apa sahaja tugasan lagu semasa pertandingab, mereka tidak ada masalah untuk menghafal lirik atau menyesuaikan diri. Kelebihan mereka ada di situ,” katanya ketika ditemui selepas konsert akhir Gegar Vaganza, baru-baru ini.

Tambah Tok Ram, pengalaman tersebut bukan sahaja mematangkan vokal, malah memberikan  roh kepada persembahan yang membuatkan nyanyian mereka terasa lebih mhidup’ berbanding penyanyi lain.

Mengambil contoh beberapa nama besar, Tok Ram secara terbuka menyebut juara-juara terdahulu seperti Naqiu sebagai antara mereka yang memiliki ‘sekolah’ pengalaman bernyanyi di kelab malam yang kukuh.

“Macam Naqiu saya tahu mereka pernah menyanyi di kelab malam. Saya sendiri pernah pergi tengok. Aura dan bunyi mereka bila di atas pentas sangat berbeza.

“Bunyi mereka hidup. Sebab itu markah yang diberikan tidak pernah lokek jika mereka layak (deserve). Kita tahu bunyi yang ‘unpredictable’ dan ada jiwa,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Tok Ram yang juga juri tetap program tersebut menegaskan bahawa pengalaman itu sangat membantu penyanyi untuk menjadi lebih versatil, terutama apabila berdepan dengan cabaran genre yang pelbagai dalam tempoh masa yang singkat.

Bukan itu sahaja, bercakap tentang penambahbaikan program, Tok Ram menyuarakan hasrat untuk merombak semula peraturan pertandingan Gegar Vaganza (GV) bagi musim akan datang bagi memastikan kualiti agar terus relevan.

Ramli mencadangkan agar kuasa memilih lagu diserahkan sepenuhnya kepada barisan juri bermula minggu kedua pertandingan bagi menguji keupayaan sebenar setiap peserta.

“Kalau diberi peluang untuk GV13, saya nak tukar peraturan. Kami (juri) yang pilih lagu, bukan peserta. 

“Minggu pertama mungkin mereka boleh nyanyi lagu sendiri, tapi masuk minggu kedua, mereka tidak akan tahu lagu apa yang bakal diterima.

“Kita mahu lihat reaksi spontan mereka. Bila dapat lagu yang mereka tidak suka, kamera akan rakam muka masing-masing. Itu baru ‘Good TV’ dan barulah namanya pertandingan. Kalau setakat semua benda boleh dijangka, saya pun rasa bosan selepas 12 tahun,” tegasnya.

Mengulas mengenai kritikan segelintir pihak yang menyifatkan barisan juri musim ini agak ‘kedekut’ dalam memberikan markah, Tok Ram menjelaskan bahawa pemarkahan diberikan berdasarkan kualiti dan elemen luar jangka (unpredictable) dalam persembahan.

“Ia bukan soal kedekut. Kami mencari bunyi yang sukar dijangka. Kalau persembahan itu bersifat  mudah dijangka atau biasa-biasa sahaja, maka markahnya pun akan jadi biasa-biasa.

“Lihat sahaja apabila bekas-bekas juara (mantan) GV naik ke pentas sebagai penyanyi jemputan. Aura dan ‘vibe’ mereka lain. 

“Bunyi mereka hidup dan ‘mega’. Itu yang kita mahukan daripada peserta, bukannya sekadar menyanyi mengikut skrip,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN