KLANG: Hasrat seorang bapa mahu memulakan kehidupan baharu bersama bayinya yang berusia tiga bulan dekat kampung halamannya di Aceh tertangguh apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, semalam.
Malah, nasib lelaki berusia 32 tahun itu ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ kerana niatnya untuk membina kehidupan baharu selepas sudah tujuh hari ditinggalkan oleh isterinya yang kini tidak lagi dapat dijejaki.
Dia yang dikenali sebagai Radja berkata, dia nekad untuk pulang ke kampung dan membina kehidupan bersama keluarga dan membesarkan anak perempuannya itu.
“Saya sudah tidak dapat hubungi isteri. Selasa minggu lalu, apabila sampai di rumah dekat Gombak, saya lihat muka anak sudah merah mungkin sudah lama menangis. Di sebelahnya ada ditinggalkan nota ‘kalau tak mahu jaga anak, serah kepada keluarga’.
“Isteri pun sudah block saya. Saya agak mungkin sebab duit juga, kerana masa anak kami dilahirkan dekat sebuah hospital swasta di Taman Melawati, majikannya yang beri pinjam duit untuk biaya kos tersebut,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Bekas pekerja cuci kereta itu semalam ditahan oleh Maritim Malaysia Selangor bersama 23 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dekat perairan berhampiran Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam yang cuba keluar dari negara ini melalui jalan tidak sah dengan menaiki bot pom-pom.
Pengarahnya, Kapten Maritim, Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kesemua PATI ditahan itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan perjalanan yang sah ketika ditahan kira-kira pukul 2 pagi, semalam.
Jelas Radja, dia sanggup menempuh perjalanan panjang bersama anaknya itu walaupun mengetahui risikonya termasuk keselamatan bayi berkenaan di tengah-tengah laut.
“Memang saya sudah siapkan susu botol, pakaian dan sebagainya. Namun, bersyukur dia tidak menangis sepanjang perjalanan sebab saya memang dukung dan peluk erat ketika dalam bot.
“Sebelum ini saya dan isteri memang masuk melalui jalan yang sah dengan menaiki kapal terbang. Sudah empat tahun tinggal, kemudian pasport pun sudah tamat tempoh, sebab itu saya memilih untuk keluar menggunakan ejen yang dikenali menerusi aplikasi TikTok,” ujarnya.
Susulan penahanan tersebut, lelaki itu disiasat di bawah Akta Imigresen 1953/63 kerana keluar negara melalui jalan yang tidak diwartakan. – UTUSAN










