KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membentangkan beberapa Rang Undang-Undang (RUU) terlebih dahulu sebelum pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya dapat dilakukan sepenuhnya.
Antara yang terlebih dahulu adalah RUU Perlembagaan (Pindaan), diikuti dengan RUU Omnibus bagi meminda 19 undang-undang berkaitan serta RUU Saraan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menegaskan komitmen kerajaan supaya pembentangan RUU Perlembagaan (Pindaan) dibentangkan dalam persidangan kali ini.
“Justeru itu, pada masa ini, Jabatan Peguam Negara sedang memuktamadkan draf RUU Perlembagaan (Pindaan) untuk dibentangkan pada garis masa yang telah ditetapkan,” katanya menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab Dr. Kelvin Yii Lee (PH-Bandar Kuching) mengenai pelan serta rancangan kerajaan untuk pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya. – UTUSAN










