KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat lebihan dagangan sebanyak RM151.80 bilion pada 2025 meningkat 9.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tahun lalu menjana jualan eksport sebanyak RM45.4 bilion hasil hubungan dagangan dengan negara seperti United Kingdom, Thailand, Rusia, Itali, Perancis, Brazil, Republik Rakyat China (RRC), Republik Korea, Ethiopia, Kenya dan Afrika Selatan.
Menurutnya, produk utama yang menyumbang termasuk gas asli (LNG), minyak kelapa sawit, barangan elektronik dan elektrik (E&E), semikonduktor, perabot serta pelbagai bahan lain.
“Kejayaan ini dicapai walaupun menghadapi cabaran ketidaktentuan global, termasuk langkah-langkah ekonomi Amerika Syarikat dan ketegangan politik antarabangsa.
“Tetapi kita mampu, Alhamdulillah, merekod jumlah perdagangan tertinggi dalam sejarah iaitu RM3.061 trilion, meningkat 6.3 peratus berbanding 2024,” katanya pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) yang meminta penjelasan mengenai prestasi dan nilai perdagangan Malaysia bagi tahun 2025 serta hasil lawatan dan misi perdagangan Perdana Menteri ke luar negara yang menyumbang kepada peningkatan eksport.
Menurut Anwar, kejayaan itu berpunca daripada pendekatan Malaysia yang terbuka dalam perdagangan bebas, membolehkan negara memanfaatkan dua proses perdagangan utama dalam setiap pasaran.
“Nilai eksport turut mencatat rekod tertinggi RM1.603 trilion, meningkat 6.5 peratus berbanding tahun sebelumnya, merangkumi pasaran ASEAN, China, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan negara lain,” jelasnya.
Katanya, lebihan dagangan menandakan prestasi ekonomi Malaysia yang semakin kukuh.
Anwar berkata, pasaran baharu yang menunjukkan pertumbuhan pesat termasuk Kyrgyzstan, Yaman, Tanzania, Togo, Uzbekistan, Angola, Algeria, Nigeria, Puerto Rico, Kenya dan Maghribi.
“Pasaran baharu ini memberikan peluang besar kepada Malaysia untuk terus terbuka dalam perdagangan antarabangsa dan memperkukuh hubungan ekonomi dengan negara-negara baru,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan sentiasa komited untuk terus memperluaskan jaringan perdagangan negara serta memastikan hasil daripada hubungan ekonomi ini memberi manfaat kepada seluruh rakyat. – UTUSAN










