Peminat terlalu obses, ada yang hantar Whatsapp kepada ibu - Zarif Ghazzi - Utusan Malaysia

Peminat terlalu obses, ada yang hantar Whatsapp kepada ibu – Zarif Ghazzi

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zarif Ghazzi mengakui berasa kurang selesa apabila berdepan sikap segelintir peminat yang disifatkan terlalu obses sehingga sanggup menghubungi ahli keluarganya secara peribadi.

Zarif, 22, berkata, meskipun menghargai setiap sokongan dan minat yang diberikan peminat terhadap kerjayanya dalam industri seni, keterujaan tersebut seharusnya mempunyai batas agar tidak menceroboh ruang peribadi serta keselamatan keluarga.

“Untuk meminati seseorang itu tidak menjadi masalah dan saya sangat menghargainya. Namun, kalau boleh jangan sampai terlalu peribadi. Ada peminat yang menghantar mesej dan DM kepada ahli keluarga saya, termasuk ibu.

“Saya sendiri terkejut kerana tidak tahu bagaimana mereka memperoleh nombor telefon ibu saya sehingga sanggup menghantar mesej WhatsApp,” katanya.

Zarif berkata demikian ketika ditemui pada pertunjukan fesyen Jakel Fenomena Raya 2026 serta pengumuman Duta Paling Mega Jakel di Jakel Mall, di sini, baru-baru ini.

Menurut pelakon asal Johor itu, sebagai seorang artis, dia memahami perhatian peminat adalah sebahagian daripada kerjayanya.

Bagaimanapun, situasi menjadi berbeza apabila ia melibatkan kehidupan peribadi di luar waktu bekerja.

“Ini adalah pekerjaan saya sebagai pelakon. Tetapi apabila saya berehat dan tidak bekerja, saya berharap peminat tidak sampai menjejaki rumah atau mencampuri urusan peribadi lain.

“Alhamdulillah setakat ini peminat masih tidak mengetahui lokasi kediaman saya, termasuk kampung halaman. Saya memang kurang selesa kerana keluarga tidak sepatutnya terlibat,” ujarnya.

Tambah pelakon drama Seribu Tahun itu, isu tersebut juga mempunyai kaitan rapat dengan aspek keselamatan dirinya dan keluarga.

“Bagi saya, ini soal keselamatan. Dunia seni adalah dunia saya, tetapi keluarga adalah perkara yang saya lindungi daripada orang luar,” katanya.

Sehubungan itu, Zarif menasihatkan peminat agar terus menyokong kerjayanya secara berhemah serta menghormati batas privasi yang sepatutnya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang menyokong saya dari dulu hingga kini. Lakonan adalah pekerjaan saya, namun di luar itu saya juga manusia biasa.

“Saya berharap peminat dapat menghormati privasi saya. Saya melayan semua peminat dengan baik, tetapi perlu ada batas antara seorang pelakon dan peminatnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN