Dunia komedi di Malaysia perlu belajar dari negara jiran yang berani bergerak secara independen tanpa bergantung nasib kepada stesen televisyen semata-mana.
Shahrol Shiro atau Shahrol Azizie Azmi, 41 berpendapat industri lawak Indonesia mampu berkembang sehingga kini kerana ahli komedi mereka bijak mencipta peluang menerusi penganjuran acara dan menawarkan servis kepada pembikin filem.
“Kalau nak diikutkan permulaan industri komedi di Indonesia dan Malaysia bermula tahun yang sama iaitu 2020 di mana kita ada Astro Warna dan mereka ada program bernama SUCI (Stand Up Komedi Indonesia).
“Bezanya, mereka lebih kepada pelawak individu tapi di Malaysia orang terima lawak kita secara berkumpulan. Tapi sehingga kini mereka masih rancak, tapi kita sudah semakin hilang.
“Saya ada pergi ke Indonesia bertemu Presiden Stand Up Komedi, Adjis Doa Ibu untuk belajar tentang dunia komedi mereka. Di Jakarta, ahli komedi mereka bergerak sendiri siap ada festival yang dihadiri 15 ribu penonton.
“Mereka ada ilmu perniagaan yang memberi keuntungan kepada komuniti. Contohnya sediakan servis konsultan kepada pembikin filem. Semua ni dibuktikan dengan kejayaan filem Agak Laen yang dibuat oleh ‘anak’ komedi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Susulan itu, Shahrul bertekad untuk merancang sebuah pesta komedi untuk membela nasib pelawak di Malaysia di samping meneruskan perkembangan industri lawak di Malaysia.
“Dunia hari ini sudah berubah dan tidak lagi hanya tertumpu kepada televisyen. Kita juga tahu pelan perniagaan stesen televisyen, sesuatu program itu hanya boleh diteruskan jika ada penaja.
“Jadi saya buat kajian sendiri dan anjurkan Temasya Komedi Rakyat di Pahang tahun lalu. Sambutan amat baik apabila tiga ribu tiket terjual menandakan dunia komedi ini masih ada peminat.
“Jadi kita akan teruskan lagi temasya ini di Johor, InsyaAllah di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia pada Mei akan datang,” katanya.
Bukan itu sahaja, Juara Maharaja Lawak Mega 2018 itu juga sedang merancang impian yang lebih besar iaitu ingin mengadakan Pesta Komedi Nusantara yang menghimpunkan pelawak ternama dari tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.
“Saya selalu percaya komedi ini adalah ubat dalam hidup yang serba menekan. Dalam hidup kena ada jenaka. Tapi bila ahli komedi yang tertekan dan mengadu, itu sesuatu yang tidak menyeronokkan untuk saya.
“Jadi saya sedang melakukan sebuah kertas kerja untuk buat program komedi lebih besar membabitkan tiga negara. Cadangan itu nanti kita akan usahakan untuk cari penaja atau pihak yang mahu berkolaborasi.
“Saya terpanggil melakukan ini semua kerana mengenang kawan-kawan. Kami ada berjumpa dan mereka juga ada mengadu cabaran dunia komedi di Malaysia. Saya fikir, kena lakukan sesuatu. Perlu ada ilmu tentang perniagaan seperti belajar menjadi penganjur acara untuk buat acara sebegini,” katanya.
Terdahulu, dunia komedi tanah air kembali menjadi tumpuan apabila pelakon dan pelawak, Fad Bocey, mendedahkan industri hiburan kini tidak lagi menyediakan ruang yang konsisten kepada golongan pelawak apalagi setelah penutupan program televisyen Astro Warna.
Menurutnya, kebanyakan pelawak hari ini hanya mendapat peluang muncul di televisyen sekitar setahun sekali dan itu pun sekiranya menyertai pertandingan hiburan.
Sebelum itu, Pak Ya juga mendedahkan dirinya terpaksa pulang ke kampung halaman di Ipoh, Perak kerana tawaran semakin berkurangan. Menurutnya, setakat ini, pekerjaannya bergantung kepada tawaran yang diterima kumpulan Senario.
Proses berpindah semula ke kediaman asalnya ini sudah bermula di mana dia mengangkut barang sedikit demi sedikit.










