Malia Baby sekali lagi menjadi perhatian netizen selepas kemunculannya sebagai tetamu jemputan dalam sebuah podcast kendalian selebriti Singapura baru-baru ini menjadi bahan bualan ramai.
Pada awalnya, kehadiran Malia dilihat sebagai satu peluang untuk dia berkongsi pandangan dan pengalaman secara lebih santai. Namun, keadaan bertukar sebaliknya apabila beberapa klip pendek daripada sesi podcast tersebut mula tular di media sosial.
Menerusi klip yang tersebar, ada netizen yang beranggapan Malia kurang petah bercakap dan kelihatan tidak yakin ketika menjawab soalan. Cara percakapannya yang ringkas dan tidak terlalu mendalam menjadi sasaran kritikan.
Lebih mengejutkan, ada juga yang melabelkan Malia sebagai wanita ‘bimbo’. Namun, dalam masa sama, peminat setia Malia tampil mempertahankannya. Mereka berpendapat bukan semua orang selesa bercakap panjang di hadapan kamera, tambahan pula dalam suasana rakaman podcast yang mungkin asing bagi sesetengah individu.
Ada juga yang mengingatkan netizen bahawa klip pendek sering disunting dan tidak menggambarkan keseluruhan perbualan. Apa yang ditonton hanyalah beberapa saat, tetapi kesimpulan yang dibuat seolah-olah mencerminkan keseluruhan personaliti seseorang.
Sebagai nasihat, Cik Bunga melihat isu ini sebagai peringatan buat semua. Bercakap di khalayak ramai adalah satu kemahiran, dan ia boleh dipelajari serta diperbaiki.
Tidak adil untuk menghukum seseorang hanya berdasarkan satu klip tular. Bagi selebriti dan pempengaruh pula, kritikan adalah sebahagian daripada dunia populariti, namun memilih untuk mengambil yang membina dan mengabaikan kata-kata keji adalah langkah terbaik untuk menjaga kesihatan mental.
Untuk netizen, sebelum menulis komen pedas, fikirkan kesannya. Kata-kata kita mungkin nampak kecil, tetapi boleh memberi luka yang besar. Dunia hiburan memang penuh gosip, tetapi sedikit empati mampu menjadikan ruang media sosial lebih matang dan beradab.










